PENDAPAT | Darjah 1 Usia 6 Tahun: Jangan Sampai Guru Jadi ‘Pengasuh’

Opinion
9 Sep 2026 • 5:00 PM MYT
Azzman Mantoya
Azzman Mantoya

A journalist with free time, random thoughts and questionable ideas.

Image from: PENDAPAT | Darjah 1 Usia 6 Tahun: Jangan Sampai Guru Jadi ‘Pengasuh’
Gambar hiasan janaan AI

Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan cadangan kemasukan murid ke Darjah 1 pada usia enam tahun.

Pada pandangan saya, idea ini masih belum cukup matang untuk dilaksanakan secara menyeluruh kerana ia berpotensi mewujudkan cabaran baharu, khususnya kepada guru di sekolah rendah.

Saya faham bahawa kemasukan ke Darjah 1 pada usia enam tahun ini dilaksanakan secara sukarela dan tidak mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah pada usia tersebut.

Namun begitu, cuba teliti penjelasan Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat. Hanya lebih 70,000 penyertaan kemasukan Darjah 1 usia 6 tahun yang direkodkan, sedangkan jumlah yang disasarkan kementerian ialah sekitar 400,000 murid.

Bukankah angka ini menunjukkan satu isyarat daripada golongan ibu bapa bahawa ramai dalam kalangan mereka kurang yakin dengan inisiatif tersebut?

Persoalannya, mengapa?

Bagi saya, kemasukan murid usia enam tahun ke Darjah 1 tidah seharusnya dilihat dari sudut akademik semata-mata. Banyak perkara yang perlu diambil kira termasuk keupayaan, tahap kematangan dan kesediaan dari segi emosi sebelum kanak-kanak ini masuk ke alam persekolahan.

Sudah tentu, hanya ibu bapa yang betul-betul tahu tentang tahap kesediaan anak masing-masing.

Sebagai contoh, aspek keselamatan. Adakah kanak-kanak berusia enam tahun mempunyai tahap kesedaran dan peka dengan keadaan sekeliling?

Senario yang paling sesuai untuk digambarkan ialah situasi anak-anak nak ke sekolah. Tidak semua ibu bapa ada kesempatan dan masa untuk mengahantar anak masing-masing ke sekolah.

Justeru, mereka akan menggunakan perkhidmatan bas dan van sekolah. Oleh itu, adakah ibu bapa berani untuk membiarkan anak-anak mereka menaiki bas atau van secara bersendirian?

Selain itu, bayangkan pula situasi di sekolah. Adakah kanak-kanak ini mampu pergi ke tandas seorang diri tanpa pengawasan orang dewasa?

Itu baru menyentuh aspek asas keselamatan dan pengurusan diri.

Belum lagi mengambil kira ragam kanak-kanak, tahap fokus dan kemampuan mereka untuk mengikuti sesi pembelajaran yang mungkin berbeza daripada murid sekolah rendah yang lebih berusia.

Apa yang lebih membimbangkan ialah pemikiran segelintir ibu bapa yang memilih kemasukan Darjah 1 pada usia enam tahun bukan kerana anak mereka sudah bersedia, tetapi atas faktor ekonomi.

Tidak semua ibu bapa mampu untuk menghantar anak masing-masing ke tadika swasta dengan yuran sehingga RM400 sebulan yang ditambah dengan bayaran yuran tahunan mencecah RM1,000.

Sebagai penyelesaian, mereka memilih jalan alternatif yang lebih murah iaitu menghantar anak supaya 'dijaga' oleh guru sekolah.

Kesimpulannya, siapa yang akan terbeban dengan pelaksanaan idea ini? Sudah tentu guru sekolah rendah.

Umum diketahui bahawa tugas guru sangat berat. Bukan sahaja mengajar, mereka turut dibebankan dengan kerja-kerja pengkeranian ditambah dengan tugas aktiviti luar.

Sekarang nak tambah lagi tanggungjawab mereka sebagai 'pengasuh'?

Untuk rekod, saya faham apabila ramai akan menegur supaya kita sebagai ibu bapa perlu mengubah mentaliti masing-masing dan menerima pelaksanaan atau dasar baharu demi masa depan negara.

Itu saya tidak nafikan. Bagaimanapun, idea yang dikemukakan mesti diiringi dengan penjelasan kaedah, pelaksanaan yang berkesan dan fasiliti yang mencukupi.

Jika tidak, idea itu hanyalah 'cantik' di atas kertas, sedangkan realitinya tidak begitu indah.


Azzman Mantoya (azzman.tvpertiwi@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved