Pendapatan 4QFY25 Top Glove diramal lebih baik didorong pertambahan jualan, kata Phillip Capital

29/09/2025 - 11:33
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 Sept - Top Glove Corporation Berhad dijangka mencatat peningkatan kecil dalam keuntungan suku tahun ke suku tahun, didorong pertambahan jumlah jualan, kata Phillip Capital.
Pengeluar sarung tangan getah asli itu kini beroperasi pada kadar penggunaan kapasiti 74%, dan syarikat berharap dapat meningkatkan lagi kadar penggunaan dalam suku kewangan terakhir, berikutan pertambahan pesanan dari Amerika Syarikat (AS), kata firma penyelidikan itu.
Bagaimanapun katanya, purata harga jualan (ASP) yang lebih lemah serta pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dijangka terus memberi tekanan ke atas syarikat.
"Keuntungan bersih kumpulan dijangka sekitar RM22 juta hingga RM23 juta bagi suku berakhir 31 Ogos 2025 (4QFY25), berbanding RM21.5 juta pada 3QFY25 dan kerugian bersih RM50.5 juta pada 4QFY24," kataya dalam satu nota kajian.
Top Glove dijangka mengumumkan keputusan kewangannya pada 9 Oktober ini.
Bagaimanapun, Phillip Capital telah menurunkan harga sasaran saham syarikat itu sebanyak 12 sen kepada 59 sen, selepas menurunkan penilaian bagi mencerminkan cabaran struktur berterusan yang mengehadkan kekuatan pemulihan keuntungan.
Saham Top Glove susut lebih separuh nilainya tahun ini, menghapuskan lebih RM6 bilion daripada modal pasaran syarikat, ketika pengeluar sarung tangan bergelut dengan persaingan sengit dalam keadaan lebihan bekalan global yang besar.
"Pesaing dari China khususnya giat menubuhkan operasi di Asia Tenggara untuk mengelak tarif AS, di samping menawarkan diskaun besar bagi bersaing di pasaran luar AS.
"Pemulihan purata harga jualan juga masih terhad disebabkan strategi harga agresif pemain China, terutamanya di luar pasaran AS,” katanya.
Top Glove menegaskan, tidak akan menurunkan harga lebih rendah, berikutan permintaan yang masih kukuh di pasaran AS, jelas firma itu.
Trajektori keuntungan hanya dijangka bertambah baik pada FY2026–FY2027, sejajar dengan peningkatan beransur-ansur dalam kadar penggunaan kapasiti, tambahnya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) 56 sen sesaham.- DagangNews.com
standard
