Pendapatan Ancom Nylex dijangka kekal kukuh pada FY24-25 dirangsang permintaan, produk baharu – Kenanga Research
diyana
18/07/2023 - 12:28
KUALA LUMPUR 18 Julai - Pendapatan Ancom Nylex Bhd dijangka kekal kukuh sepanjang tahun kewangan 2024 sehingga 2025 (FY24-25) dirangsang oleh permintaan dan produk baharu daripada segmen agrokimianya.
Selepas mencatat kecemerlangan pada FY23, Kenanga Research berkata kumpulan itu dijangka kukuh pada tahun akan datang memandangkan permintaan untuk bahan agrokimia kekal sihat.
Sebagai satu-satunya pemain di Asia Tenggara, kumpulan itu juga menikmati pesanan daripada lencongan perdagangan pelanggan yang ingin mempelbagaikan pengeluaran dari China manakala produk margin tinggi baharu seharusnya mengimbangi purata harga jualan (ASP) yang tidak memberangsangkan.
Susulan taklimat keputusan 4QFY23 secara maya dengan Ancom Nylex semalam, firma itu mendapati bahawa pengeluar bahan aktif tunggal di Asia Tenggara itu mendapat manfaat daripada Amerika Syarikat dan Brazil.
“Khusus untuk FY24, El Nino yang membawa kekeringan ke Asia Tenggara tetapi hujan di bahagian selatan AS dan Brazil mungkin mengubah corak permintaan biasa.
“Memandangkan hujan mendorong keperluan yang lebih besar untuk racun rumpai, permintaan dari Brazil untuk produk berasaskan monosodium methane arsonate (MSMA) kumpulan itu telah diperkukuh tahun ke tahun (YoY) setakat ini tetapi pesanan dari Asia Tenggara mungkin melemah sedikit atau kekal tidak berubah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, tempahan itu dua bahan aktif tunggal baharu yang dilancarkan pada FY22, Bromacil dan Ester, adalah memberangsangkan dan momentum akan berterusan sepanjang FY24-25.
Menurut Kenanga Research, prestasi kimia perindustrian pada FY23 adalah lemah dan berkemungkinan berterusan sehingga FY24 disebabkan landskap operasi dalam kesukaran berikutan permintaan global perlahan dan harga minyak rendah.
“Secara keseluruhan, keuntungan bersih untuk FY24 dijangka kira-kira RM100 juta tetapi kami selesa dengan anggaran kami yang lebih tinggi sedikit sebanyak RM110.6 juta, memandangkan ASP agrokimia lebih stabil, pengeluaran inventori bahan kimia perindustrian yang paling rendah dan lebih ramai pelanggan memilih strategi bekalan China+1,” tambahnya.
Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan FY24-25 dan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) pada RM1.80 sesaham.
Pada waktu penulisan, saham Ancom Nylex didagangkan pada RM1.02, susut 1 sen atau 1% dengan modal pasarannya bernilai RM994.4 juta. - DagangNews.com


