Pertumbuhan pendapatan Pharmaniaga pada FY23 dijangka sama dengan tahap sebelum pandemik didorong lanjutan konsensi KKM – Kenanga Research
diyana
13/07/2023 - 11:32
KUALA LUMPUR 13 Julai - Kenanga Research mengunjurkan pertumbuhan pendapatan Pharmaniaga Berhad yang berstatus PN17 bagi tahun kewangan 2023 (FY23) pada tahap sama dengan sebelum pandemik, dengan purata RM40 juta sehingga RM60 juta.
Jelasnya, ini didorong oleh pesanan tetap untuk bekalan perubatan daripada konsesi Kementerian Kesihatan (KKM), di mana semalam kumpulan itu telah menerima lanjutan konsensi bekalan perubatan KKM bagi tempoh tujuh tahun berakhir 30 Jun 2030.
Lanjutan tersebut akan menggantikan perjanjian pembekalan interim yang dimulakan pada 1 Disember 2019 tetapi akan kekal sementara menunggu pemuktamadan perjanjian lanjutan konsesi tersebut.
Menurut firma itu, Pharmaniaga dijangka melaksanakan penyelenggaraan Sistem Maklumat Farmasi (PhIS) dan Sistem Farmasi Klinik (CPS), pembaharuan lesen, permintaan perubahan dan pelaksanaan sistem di kemudahan baharu berdasarkan kadar kos operasi sedia ada.
Kenanga Research berkata Pharmaniaga yakin dengan prospek masa depannya sementara ia dalam pelan strategik untuk pulih daripada status Nota Amalan 19 (PN17) dan kini sedang merangka pelan penyusunan semula.
Berikutan lanjutan konsensi itu, firma tersebut positif dengan perkembangan baharu ini walaupun ia sejajar dengan jangkaan pasaran.
“Bagaimanapun, kami sedar bahawa kerajaan berkemungkinan mahu melihat nilai wang yang lebih baik dan oleh itu, Pharmaniaga perlu menawarkan kadar baharu yang lebih berdaya saing,” tambahnya.
Kenanga Research juga berhati-hati memandangkan ekuiti pemegang saham negatif sebanyak RM143 juta pada 31 Mac 2023, menghalang keupayaannya untuk menjelaskan dividen
Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘underperform’ dengan harga sasaran (TP) 33 sen sesaham.
Risiko utama kepada saranan firma itu termasuk pelantikan pemegang konsesi baharu oleh kerajaan, pelan penyusunan PN17 kurang cair kepada pemegang saham sedia ada dan penswastaan pada premium ketara kepada harga pasaran semasa.
Pada waktu penulisan, saham Pharmaniaga telah menokok 0.5 sen atau 1.3% kepada 39 sen dengan modal pasaran sebanyak RM511 juta.

