Pendapatan Hap Seng Plantations pada FY25 diunjur naik 7.1% dipacu peningkatan pengeluaran buah tandan segar

Business & Finance
18 Apr 2025 • 4:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Hap Seng Plantations pada FY25 diunjur naik 7.1% dipacu peningkatan pengeluaran buah tandan segar

image is not available

18/04/2025 - 16:33

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Pendapatan Hap Seng Plantations Bhd pada tahun kewangan 2025 (FY25) diunjur meningkat sebanyak 7.1% dipacu pengeluaran hasil buah tandan segar (BTS) yang lebih baik serta harga minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi, kata UOB Kay Hian Research (UOBKH Research).

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatan bagi syarikat perladangan itu untuk tahun ini dan tahun hadapan masing-masing sebanyak 28% dan 61%, berdasarkan jangkaan pertumbuhan pengeluaran BTS yang lebih tinggi iaitu 9% berbanding 3% sebelum ini, sambil mengekalkan unjuran harga purata jualan MSM sebanyak RM4,500 satu tan.

“Kami menjangkakan keuntungan bersih syarikat pada tahun ini akan meningkat sebanyak 7.1% dipacu oleh pengeluaran BTS yang lebih tinggi iaitu 6.6% serta purata harga jualan MSM yang lebih tinggi pada RM4,500 satu tan berbanding RM4,200 satu tan tahun lalu,” katanya dalam satu nota kajian.

Bagi 1QFY25, UOBKH Research menjangkakan pendapatan Hap Seng Plantations susut sebanyak 35% suku ke suku kepada RM54 juta, sebahagian besarnya disebabkan pengeluaran bermusim yang lebih rendah apabila ladang-ladang terjejas akibat banjir, serta asas harga yang tinggi pada 4QFY24.

“Berdasarkan data suku pertama 2025, Hap Seng Plantations mencatatkan penurunan pertumbuhan pengeluaran sebanyak 11% disebabkan pengeluaran yang lebih rendah pada bulan Januari dan Februari,” katanya.

Namun begitu, bagi keseluruhan tahun ini, firma penyelidikan itu berkata Hap Seng Plantations menjangkakan pertumbuhan pengeluaran yang positif sekitar 10% berbanding unjuran firma yang sedikit lebih rendah iaitu 9%, dipacu oleh sumbangan tambahan daripada pokok sawit yang semakin matang.

“Kami perhatikan kumpulan itu terus menjalankan penanaman semula sekitar 800 hingga 900 hektar setiap tahun, yang menyokong pemulihan hasil dan kelestarian dalam jangka panjang," katanya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan, kos yang lebih rendah akan membantu prestasi Hap Seng Plantations, dengan menyatakan kumpulan perladangan itu menyasarkan kos MSM seunit yang lebih rendah iaitu RM2,300 satu tan pada tahun ini, berbanding RM2,421 satu tan pada tahun lalu, disokong oleh kos buruh dan baja yang stabil.

“Kami perhatikan syarikat telah pun membuat tender untuk pembajaan pada separuh pertama 2025 pada harga yang mendatar berbanding tahun lalu,” katanya.

Memetik penyelidik pasaran bebas Arus Media, firma penyelidikan tersebut berkata, kemampuan pasaran global untuk membeli baja jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua setengah tahun pada Mac, disebabkan harga fosfat dan potash yang tinggi, nilai tanaman yang lemah, serta pengurangan eksport dari China yang menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan kos baja.

“Keadaan ini diburukkan lagi oleh perang perdagangan AS-China yang semakin memuncak, yang boleh memberi kesan kepada harga baja memandangkan Hap Seng Plantations mengimport baja dari Kanada," katanya.

Dari segi cuaca, UOBKH Research berkata, keadaan di Sabah, masih mengalami hujan, namun keadaan telah bertambah baik berbanding Januari dan Februari 2025.

“Menurut ramalan bagi tempoh 9 hingga 16 April 2025, Sabah dijangka menerima hujan sederhana hingga lebat, dengan paras hujan antara 65mm hingga lebih 95mm. Ini menunjukkan keadaan kelembapan yang baik dan boleh menyokong produktiviti kelapa sawit,” katanya.

Bagi harga MSM dan isirung sawit, firma penyelidikan itu berkata risiko daripada perang perdagangan AS-China yang memuncak boleh membawa kepada peningkatan ketidaktentuan pasaran.

“Berdasarkan harga semasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), purata harga MSM bagi 1QFY25 meningkat sebanyak 18.6% kepada RM4,723.80, manakala harga isirung sawit turut meningkat sebanyak 63% 1QFY25,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan “beli” terhadap saham Hap Seng Plantations, dengan harga sasaran (TP) RM2.45 sesaham.- DagangNews.com

standard