Permintaan lemah segmen E&E jejas pendapatan HPP Holdings pada FY25, kata Kenanga

LocalBusiness & Finance
18 Apr 2025 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan lemah segmen E&E jejas pendapatan HPP Holdings pada FY25, kata Kenanga

image is not available

18/04/2025 - 11:30

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Kenanga Research mengurangkan unjuran pendapatan HPP Holdings Bhd sebanyak 39% bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mei 2025 (FY25), berikutan permintaan yang lebih lemah daripada segmen barangan elektrik dan elektronik pengguna (E&E) serta kos input yang lebih tinggi.

Katanya, untung bersih teras bagi pengeluar produk pembungkusan kertas tersebut dalam tempoh sembilan bulan berakhir 28 Februari 2025 (9MFY25) adalah sebanyak RM1.8 juta, iaitu hanya 52% daripada unjuran setahun penuhnya sebelum ini.

“Prestasi yang lemah ini disebabkan jualan lebih rendah daripada jangkaan serta margin yang mengecil, berpunca daripada kadar penggunaan kilang yang tidak optimum sekitar 40%,” katanya dalam satu nota kajian.

Kenanga Research berkata, walaupun keterlihatan pendapatan kekal lemah, pemacu pemulihan berpotensi termasuk produk pembungkusan berasaskan pulpa kertas boleh kitar semula yang mempunyai margin tinggi dan peningkatan dalam pesanan, terutamanya daripada aktiviti penambahan semula stok oleh pelanggan dalam sektor E&E.

Bagi 9MFY25, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM47.24 juta, merosot 7.34% berbanding RM50.98 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, didorong purata harga jualan yang lebih rendah dan permintaan yang lebih perlahan daripada segmen E&E.

Keuntungan bersih bagi tempoh tersebut jatuh dengan lebih ketara, menjunam 53% kepada RM801,000 daripada RM1.73 juta dalam 9MFY24.

Ini disebabkan oleh kos tetap yang tidak menurun seiring dengan pengurangan volum, menyebabkan operasi kilang menjadi tidak efisien dan margin semakin mengecil.

Bagaimanapun, untung bersih teras HPP bagi suku ketiga berakhir 28 Februari 2025 (3QFY25) meningkat sebanyak 17%, disokong peningkatan dalam jumlah jualan, terutamanya daripada produk pembungkusan pulpa kertas bermargin tinggi.

Walaupun ia telah menyemak turun unjuran pendapatan FY25 untuk HPP ke bawah, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran bagi FY26. - DagangNews.com

standard