Pendapatan hartanah bersih Pavilion REIT pada 1QFY25 naik 5% kepada RM142.75 juta

09/05/2025 - 11:16
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 9 Mei — Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mencatatkan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM142.75 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), meningkat 5% berbanding RM136.02 juta tahun lalu, disokong sumbangan sewaan lebih tinggi daripada Pavilion Bukit Jalil dan Elite Pavilion Mall.
Hasil kasar suku tahunan meningkat 4.4% kepada RM228.18 juta daripada RM218.52 juta tahun lalu, dipacu prestasi sewaan kukuh serta kadar penghuninya lebih tinggi bagi aset runcit.
Keuntungan bersih naik 8.7% kepada RM90.42 juta, manakala pendapatan sesaham (EPU) turut meningkat kepada 2.47 sen berbanding 2.28 sen.
Pendapatan REIT itu meningkat kepada RM98.16 juta atau 2.68 sen seunit, berbanding RM90.89 juta atau 2.48 sen bagi tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, peningkatan sewaan di Pavilion Bukit Jalil hasil penghunian lebih tinggi dan penyertaan pusat pameran baharu, serta peningkatan pendapatan pengiklanan di Elite Pavilion Mall menyumbang kepada prestasi lebih baik tahun ke tahun.
Portfolio runcit Pavilion REIT merangkumi Pavilion Kuala Lumpur Mall, Pavilion Bukit Jalil, Intermark Mall, Da Men Mall, dan Elite Pavilion Mall menyumbang 98.9% kepada keseluruhan NPI.
Pavilion Bukit Jalil merekodkan peningkatan 35% dalam NPI kepada RM36.11 juta, manakala Elite Pavilion Mall naik 18.2% kepada RM13.68 juta.
Pavilion REIT kekal optimis didorong perbelanjaan pengguna yang stabil serta pengambilalihan terbaharu melibatkan Banyan Tree Kuala Lumpur dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur bernilai RM480 juta.
Syarikat itu berkata, pihaknya akan terus menganjurkan acara berfokus untuk menarik pengunjung, memperkukuh kerjasama jenama, dan mengoptimumkan kos operasi.- DagangNews.com
standard
