Pendapatan Kretam Holdings dalam FY23 dijangka merosot sebelum pulih pada FY24 – Kenanga Research
diyana
07/06/2023 - 11:02
KUALA LUMPUR 7 Jun - Kenanga Research menjangkakan pendapatan Kretam Holdings Bhd dalam tahun kewangan 2023 (FY23) merosot tahun ke tahun sebelum pulih pada tahun akan datang.
Menurut firma penyelidikan itu, pendapatan keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) baru-baru ini adalah lebih lemah suku ke suku (QoQ) tetapi lebih kukuh daripada beberapa syarikat seumpamanya disebabkan harga premium minyak sawit mentah (MSM) dan penuaian buah tandan segar (BTS) yang sihat.
Mengulas mengenai pendapatan tahun kewangan 2023 (FY23), firma itu berkata Kretam boleh menikmati harga MSM yang lebih baik sedikit memandangkan kira-kira separuh daripada minyak sawitnya menarik harga premium, di mana ladangnya mendapat pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) sepenuhnya.
“Penuaian 1QFY23 menggalakkan sebanyak 95,764 tan metrik (MT), susut 11% QoQ dan meningkat 27% tahun ke tahun YoY, seterusnya menunjukkan bahawa pengeluaran buah tandan segar (BTS) lebih kukuh YoY pada FY23,” katanya dalam nota hari ini.
Bagi perbandingan, firma itu berkata jumlah pengeluaran minyak sawit Malaysia turun 22% QoQ dan meningkat hanya 3% YoY dalam tempoh yang sama.
Di samping itu, kos unit telah meningkat sejak FY22 namun harga baja lebih rendah sepatutnya mengurangkan tekanan kos pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23).
“Secara keseluruhan, pendapatan FY23 dijangka masih merosot YoY sebelum pulih pada FY24,” tambahnya.
Kenanga Research berkata Kretam telah mengakhiri 1QFY23 dengan tunai bersih RM39 juta tetapi tanpa dasar ketat pada dividen atau pembayaran terdahulu yang stabil, di mana kumpulan itu mungkin akan mengembangkan perniagaan.
Bagaimanapun, katanya, aset kelapa sawit huluan yang baik tidak mudah diperoleh, justeru pengembangan hiliran tidak boleh diketepikan.
Baru-baru ini, pada 29 Mei 2023, kumpulan itu telah mengumumkan pengambilalihan 5.9% pegangan dalam Bahvest Resources, sebuah syarikat perlombongan emas yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Firma itu mengesyorkan saranan ‘neutral’ dengan nilai saksama (FV) 55 sen sesaham berdasarkan FY24 P/BV sebanyak 1.1 kali ditambah premium 10% untuk pulangan ekuiti (ROE) yang lebih tinggi.
Saham Kretam pada pukul 10:52 pagi ini tidak berganjak pada 60.5 sen sejak sesi dagangan pagi dibuka, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM1.4 bilion. -DagangNews.com

