Pendapatan Pavilion-REIT dijangka melonjak, disokong aset premium dan hotel baharu - Affin Hwang

LocalBusiness & Finance
17 Jul 2025 • 3:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Pavilion-REIT dijangka melonjak, disokong aset premium dan hotel baharu - Affin Hwang

image is not available

17/07/2025 - 15:49

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Prospek pendapatan Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion-REIT) dilihat semakin positif didorong portfolio aset runcit bertaraf premium yang dimilikinya, kata Affin Hwang Investment Bank.

Firma penyelidikan itu berkata, pusat beli-belah utama milik Pavilion-REIT seperti Pavilion Kuala Lumpur (PKL) dan Pavilion Bukit Jalil (PBJ) dijangka mencatat peningkatan hasil sewaan susulan semakan semula kadar sewa dan kadar pengisian ruang yang bertambah baik tahun ini.

“Sebanyak 48% daripada keluasan boleh disewa bersih (NLA) portfolio Pavilion-REIT akan tamat tempoh pada tahun ini melibatkan 44% di PKL dan 27% di PBJ.

“Ini memberi ruang kepada potensi kenaikan sewa, terutama apabila margin pendapatan hartanah bersih (NPI) PBJ terus pulih,” kata Affin Hwang dalam nota kajiannya.

Pengurusan Pavilion-REIT menyasarkan semakan kadar sewa pada paras pertengahan angka tunggal dan dijangka akan memberi kesan ketara kepada keputusan kewangan bagi separuh pertama tahun ini.

Selain PKL dan PBJ, Pavilion-REIT turut memiliki Elite Pavilion (yang bersama PKL menyumbang 77% daripada NPI tahun lalu), serta Da Men Mall di Subang Jaya, Intermark Mall dan blok pejabat Pavilion Tower di ibu negara.

Tambah Affin Hwang, pengambilalihan terbaru dua hotel oleh Pavilion-REIT iaitu Banyan Tree Kuala Lumpur dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur akan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan, memandangkan kedua-dua aset tersebut menjana hasil NPI sekitar 8.1% hingga 8.6%, melebihi purata hasil NPI 6.7% daripada aset runcit sedia ada.

“Kedua-dua hotel itu akan disewakan kepada Harmoni Perkasa Sdn Bhd menerusi perjanjian pajakan induk selama 10 tahun yang boleh diperbaharui untuk dua penggal tambahan.

“Pajakan ini memberi jaminan aliran pendapatan stabil melalui kadar sewa tahunan tetap sebanyak RM33.5 juta, yang akan disemak naik 5% hingga 10% setiap lima tahun,” menurut firma itu.

Selain itu, Pavilion-REIT juga bakal menikmati pendapatan tambahan menerusi komponen berubah, di mana ia akan menerima 40% lebihan pendapatan operasi bersih yang melebihi sewa tetap, selebihnya akan disimpan oleh Harmoni Perkasa.

Affin Hwang menyifatkan strategi ini sebagai pendekatan berhati-hati untuk penglibatan pertama Pavilion-REIT dalam sektor hospitaliti, yang mengimbangi aliran tunai stabil dan potensi pertumbuhan ketika permintaan pelancongan kukuh.

Pengambilalihan kedua-dua hotel bernilai RM480 juta itu telah selesai pada 20 Jun lalu dan dibiayai sebahagiannya melalui penempatan persendirian unit amanah yang mengumpul RM360 juta.

Setakat akhir Mac, jumlah pinjaman kasar Pavilion-REIT berjumlah RM3.4 bilion atau 38.5% daripada nilai keseluruhan asetnya yang dianggarkan sekitar RM10 bilion.

Langkah Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% turut dilihat menguntungkan Pavilion-REIT memandangkan 88% daripada pinjamannya adalah pada kadar terapung.

Penurunan kadar faedah ini dijangka mengurangkan kos pembiayaan sebanyak 4%, sekaligus mengukuhkan keupayaan Pavilion-REIT untuk menjana pertumbuhan berterusan dalam agihan dividen seunit kepada pelabur.

Susulan semakan semula unjuran pendapatan antara 7% hingga 16% bagi tahun 2025 hingga 2027, Affin Hwang telah menaikkan saranan terhadap Pavilion-REIT daripada ‘pegang’ kepada ‘beli’ dengan harga sasaran dinaikkan daripada RM1.61 kepada RM1.97 seunit.- DagangNews.com

standard