
KUALA LUMPUR - Pendapatan penunggang perkhidmatan penghantaran barangan atau makanan menggunakan motosikal (p-hailing) akan dikawal selia oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam mengatasi isu manipulasi atau penindasan pendapatan pekerja oleh syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan.
Ia selaras dengan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 yang diluluskan dengan lebih suara bersetuju pada Selasa, selepas dibahaskan seramai sembilan senator di Dewan Negara pada Isnin.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, berdasarkan pindaan ini, pindaan ke atas Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu Akta 715 bertujuan memperuntukkan keputusan kerajaan melibatkan pengawal seliaan perkhidmatan kenderaan barangan termasuk penggunaan motosikal yang disediakan menerusi perniagaan pengantaraan perkhidmatan p-hailing.
"Isu mengenai manipulasi pendapatan pekerja p-hailing ini memang kita ambil maklum dan ini juga menjadi perkara asas mengapa kerajaan ambil keputusan untuk kawal selia industri ini,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian itu di persidangan Dewan Negara di sini pada Selasa.
Hasbi berkata, Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 mengandungi enam fasal.
Rang undang-undang berkenaan antara lain memperuntukkan kenderaan p-hailing sebagai kenderaan barangan yang tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.
Hasbi ketika menggulung rang undang-undang itu berkata kementerian bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah merangka satu draf kurikulum atau silibus pembelajaran bagi penunggang p-hailing mendapatkan lesen vokasional.
"Antara skop utama yang akan dimasukkan ialah memahami perbezaan risiko sebagai penghantar berbanding pengguna biasa.
"...dan keperluan untuk lebih berhati-hati di jalan raya, memahami dan meramal bahaya di jalan raya sebagai seorang penghantar (dan) mengingati konsep asas penunggang selamat atau ikhtisar-ikhtisar modul asas Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ),” katanya.
Menurut Hasbi, kursus tersebut boleh ditawarkan oleh institut memandu dan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing namun akan dipantau dan dikawal selia sepenuhnya oleh pihak JPJ dan kadar fi bagi mendapatkan lesen berkenaan hanya akan diputuskan selepas punca kuasa perundangan itu ditetapkan. - Bernama


