hamden16/11/2026 - 16:25 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melonjak 30% kepada RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong keuntungan daripada portfolio pelaburan yang terpelbagai.
Bagaimanapun, pertumbuhan pendapatan pelaburan mula sederhana pada suku ketiga apabila hanya meningkat 3% kepada RM25.82 bilion berbanding RM25.07 bilion dalam suku sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi bagi tempoh sembilan bulan itu mencerminkan kekuatan portfolio pelaburan yang terpelbagai serta strategi pelaburan dana berkenaan, meskipun pertumbuhan pendapatan mula menunjukkan penyederhanaan.
Beliau menjangkakan trend itu berterusan pada suku keempat susulan kelemahan pasaran ekuiti global dan peningkatan hasil bon.
"Pada permulaan suku ini, risiko berkaitan pinjaman kerajaan, inflasi berterusan serta penilaian saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat.
"Perkembangan ini memerlukan kami menguruskan portfolio secara berdisiplin dengan mengimbangi peluang dan risiko yang muncul, sambil terus memberikan tumpuan kepada pulangan mampan jangka panjang serta keselamatan persaraan ahli," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ekuiti penyumbang terbesar
Ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan KWSP pada suku ketiga, menjana RM17.41 bilion, meningkat 3% berbanding RM16.95 bilion setahun sebelumnya.
Kelas aset itu menyumbang 67% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan sepanjang suku berkenaan, disokong prestasi kukuh pasaran ekuiti global, pendapatan korporat yang sihat serta pelaburan berterusan dalam saham berkaitan AI.
Pelaburan pendapatan tetap pula menyumbang RM7.12 bilion atau 28% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan, meskipun berdepan tekanan penilaian susulan peningkatan hasil di pasaran utama.
Menurut KWSP, kelas aset itu yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan instrumen setara, selain pinjaman serta bon, kekal sebagai komponen defensif utama dalam portfolio ketika pasaran tidak menentu.
Pelaburan hartanah dan infrastruktur menjana RM890 juta, manakala instrumen pasaran wang menyumbang RM400 juta sepanjang suku berkenaan.
Setakat 30 September 2026, jumlah aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.55 trilion, dengan 38% daripadanya dilaburkan di pasaran global.

Keahlian baharu
Pelaburan antarabangsa menjana pendapatan sebanyak RM13.68 bilion, menyumbang 53% daripada keseluruhan pendapatan pelaburan pada suku ketiga.
Sementara itu, simpanan konvensional mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM21.39 bilion, manakala simpanan syariah menjana RM4.43 bilion.
Dari segi keahlian, KWSP mendaftarkan 658,777 ahli baharu sepanjang tempoh sembilan bulan berkenaan, menjadikan jumlah keahliannya meningkat kepada 18.67 juta, iaitu 13% lebih tinggi berbanding 16.53 juta setahun sebelumnya.
Jumlah ahli aktif meningkat 23.8% kepada 11.23 juta, menjadikan nisbah ahli aktif kepada ahli tidak aktif sebanyak 60:40.
KWSP turut mendaftarkan 54,336 majikan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif sebanyak 646,686 setakat September 2026, meningkat 2.9% tahun ke tahun.
KWSP berkata, pasaran buruh Malaysia yang kukuh, dengan kadar pengangguran sebanyak 2.9% pada September, menyokong pertumbuhan keahlian dan aktiviti caruman.
Pertumbuhan caruman
Jumlah caruman meningkat 9.34% kepada RM30.44 bilion pada suku ketiga berbanding RM27.84 bilion setahun sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, jumlah caruman sukarela mencecah RM18.27 bilion, mencerminkan minat berterusan ahli untuk meningkatkan simpanan persaraan melebihi caruman wajib.
Menurut KWSP, pertumbuhan itu disokong platform digitalnya yang memudahkan ahli membuat caruman secara sukarela.
Dalam perkembangan sama, jumlah ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun menerusi i-Topup meningkat 6.9% tahun ke tahun kepada 244,350 orang. - DagangNews.com





