hamden16/11/2026 - 17:26 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan mendedahkan pegangan saham institusi pelaburan awam dalam Zetrix AI Bhd (Zetrix) serta jumlah kerugian yang berpotensi ditanggung susulan kemerosotan harga saham syarikat perkhidmatan digital itu.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, Kementerian Kewangan dan institusi berkaitan perlu menjelaskan kedudukan pegangan saham sebenar masing-masing, selain membezakan antara anggaran kerugian atas kertas dengan kerugian yang telah direalisasikan.
Beliau berkata, penjelasan rasmi perlu diberikan di Parlimen memandangkan perkara itu membabitkan wang awam, tadbir urus korporat dan agensi penguatkuasaan.
Desakan itu menyusuli kenyataan Ketua Bersama Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd berpotensi mengalami kerugian sebanyak RM472 juta susulan kemerosotan harga saham Zetrix.

Mohd Kurniawan menyampaikan tuntutan itu menerusi kenyataan pada sidang media yang turut disertai tujuh lagi Ahli Parlimen BN, termasuk Datuk Suhaimi Nasir (Libaran) dan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Tampin).
Selain isu pegangan saham Zetrix, mereka turut meminta perkembangan terkini mengenai usaha mendapatkan semula kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM314 juta yang masih belum dibayar.
Mereka juga meminta jaminan berhubung pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
Siasatan Mafia Korporat
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Kurniawan menyatakan sokongan terhadap siasatan yang diketuai Peguam Negara berhubung dakwaan kewujudan "mafia korporat" dan menggesa hasil siasatan itu didedahkan kepada umum.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen BN berkenaan menegaskan bahawa setiap dakwaan perlu dinilai berdasarkan bukti dan disiasat secara bebas tanpa campur tangan politik.
"Jika terdapat bukti salah laku, tindakan undang-undang mesti diambil tanpa mengira kedudukan individu yang terlibat.
"Sebaliknya, jika mana-mana dakwaan terbukti palsu atau berunsur fitnah, pihak yang terjejas berhak mendapatkan pembelaan melalui saluran undang-undang sewajarnya," menurut kenyataan itu. - DagangNews.com





