Pendapatan Ramssol dijangka bertambah baik dipacu hasil perniagaan baharu – Maybank IB
diyana
16/05/2023 - 10:41
KUALA LUMPUR 16 Mei - Ramssol Group Bhd dijangka menyaksikan peningkatan pendapatan memandangkan perniagaan baharu kumpulan mula mendatangkan sumbangan.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata pengurusan kumpulan itu memberi bayangan bahawa daya tarikan jualan akan lebih kukuh pada suku-suku mendatang merentas semua segmen perniagaannya.
Bagaimanapun, pelaksanaan kekal sebagai faktor utama sebelum firma penyelidikan itu lebih yakin dalam ramalan pendapatannya.
Mengulas lanjut segmen perniagaan Ramssol, firma itu berkata di bawah segmen PeopleTech, lebih daripada 10 projek telah dilancarkan serentak bagi melaksanakan penyelesaian pengurusan sumber manusia (HCM) untuk pelbagai pelanggan domestik dan antarabangsa.
“Di EduTech, kumpulan itu melancarkan latihan anti-rasuah versi digital sebagai sebahagian daripada usahanya meningkatkan kapasiti latihan kepada lebih banyak agensi. Ia juga mengembangkan lebih banyak kerjasama dengan pelbagai persatuan untuk meluaskan jangkauan pasarannya,” katanya dalam nota hari ini.
Selain itu, pembangunan RiderGate berada di landasan yang betul memandangkan ia kini beralih kepada pembentukan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan lain seperti syarikat insurans, pembayaran dan fintech, serta agensi kerajaan berkaitan untuk melengkapkan ekosistem sebelum pelancaran yang berkemungkinan berlaku menjelang suku ketiga 2023 (3Q23).
Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan buat masa ini kerana pertumbuhan jualan berurutan yang lebih kukuh telah diambil kira dalam ramalannya.
“Kami mengunjurkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 48% pada tahun kewangan 2023 (FY23), disandarkan oleh sumbangan sulung daripada segmen EduTech dan AutoTech pada 29% campuran pendapatan dan PeopleTech berkembang sebanyak 5% dengan 71% campuran pendapatan,” tambahnya.
Margin operasi boleh ditindas disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan operasi berkaitan daripada perniagaan baharu, kata firma itu merumuskan pertumbuhan pendapatan Ramssol.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) kekal pada 46 sen sesaham. -DagangNews.com

