Pendapatan Rhone Ma dijangka susut pada 2Q hingga 4Q 2023 akibat tekanan inflasi, kata Affin Hwang
diyana
17/05/2023 - 12:01
KUALA LUMPUR 17 Mei - Rhone Ma Holdings Berhad dijangka terjejas oleh tekanan inflasi yang akan mengurangkan pendapatan kumpulan pada suku kedua hingga suku keempat 2023 (2Q-4Q23) berbanding suku pertama 2023 (1Q23).
Affin Hwang Investment Bank (Affin Hwang) menjangkakan normalisasi dalam peruntukan untuk penghutang perdagangan dan peningkatan tekanan kos selanjutnya akan mengurangkan pendapatan 2Q-4Q23, berbanding prestasi 1Q23.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan Rhone Ma namun menjangkakan kumpulan itu terjejas dari 2023 hingga 2024.
“Walaupun kami positif terhadap prospek jangka panjang perniagaan Rhone Ma, tekanan inflasi yang tinggi berkemungkinan menjejas keuntungan dan pertumbuhan keuntungan modal dari 2023 hingga 2024,” katanya dalam nota hari ini.
Firma itu berkata sedemikian susulan keputusan 1Q23 kumpulan mencatat keuntungan bersih sebanyak RM3.4 juta yang berada dalam jangkaan konsensus dan firma.
“Walaupun pendapatan 1Q23 meningkat 5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM48.5 juta, keuntungan bersih Rhone Ma menyusut sebanyak 1% yoy kepada RM3.4 juta disebabkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) lebih rendah akibat peningkatan kos bahan,” katanya.
Firma itu berkata keuntungan bersih 1Q23 kumpulan menyumbang 27.6% daripada unjuran pendapatan setahun penuhnya, sebahagiannya didorong oleh pembalikan peruntukan untuk penghutang perdagangan iaitu RM210,000.
Dari segi suku ke suku (QoQ) pula, keuntungan bersih teras 1Q23 melantun semula sebanyak 43% (QoQ) didorong oleh prestasi lebih baik daripada segmen haiwan dan ternakan serta kepentingan minoriti yang positif akibat kerugian pada produk tenusu dan perniagaan lain.
Manakala pendapatan Rhone Ma jatuh sebanyak 9.6% QoQ disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada semua segmen, khususnya, tenusu dan perniagaan lain menyusut 80% QoQ kepada RM1.1 juta.
Affin Hwang mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 75 sen sesaham daripada 68 sen selepas menaikkan ufuk penilaiannya ke 2024, berdasarkan sasaran PER 12 kali yang tidak berubah. -DagangNews.com

