Pendapatan Sarawak Raih RM14.2 Bilion 2024, Jadi Antara Negeri Berprestasi Terbaik Di Malaysia

2 Feb 2025 • 12:32 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Sarawak raih rekod pendapatan RM14.2 bilion pada tahun 2024

Pendapatan Sarawak Raih RM14.2 Bilion 2024, Jadi Antara Negeri Berprestasi Terbaik Di Malaysia. Dilaporkan, Sarawak terus mengukuhkan kedudukan ekonominya dengan mencatatkan pendapatan mencecah RM14.2 bilion pada tahun 2024! Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan pencapaian luar biasa ini dalam ucapannya di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2025 anjuran United Chinese Association Sibu Division (UCA Sibu) hari ini.

Bukan itu sahaja, Sarawak kini berada dalam senarai lima negeri paling berprestasi dari segi ekonomi di Malaysia! Negeri ini juga muncul sebagai negeri keempat tertinggi dalam jumlah eksport ke rakan dagangan luar negara.

image is not available
Pendapatan Sarawak Raih RM14.2 Bilion 2024, Jadi Antara Negeri Berprestasi Terbaik Di Malaysia. Sumber gambar: The Exchange Asia

Tahun 2024 sangat baik untuk ekonomi Sarawak

“Tahun 2024 adalah tahun yang sangat baik untuk ekonomi Sarawak. Kita bukan sahaja antara lima negeri terbaik dari segi prestasi ekonomi, tetapi juga negeri keempat tertinggi dalam eksport,” kata Abang Johari.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan ini membuktikan usaha berterusan Sarawak dalam pembangunan ekonomi, dan berharap momentum ini akan terus meningkat pada tahun 2025. “Dengan pencapaian ini, kita boleh memberi tumpuan kepada ekonomi baharu yang lebih mampan dan berdaya saing,” tambahnya.

Dalam usaha untuk memajukan ekonomi hijau, Abang Johari turut berkongsi bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengundangnya untuk berbincang dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, mengenai pengeluaran ammonia menggunakan hidrogen sebagai bahan utama.

Menurutnya, Malaysia dan Jepun dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) menjelang Mei 2025, dengan Sarawak memainkan peranan penting dalam kerjasama ini. “Ini adalah langkah strategik yang akan membuka lebih banyak peluang bagi Sarawak dalam sektor tenaga hijau dan eksport hidrogen,” jelas beliau.

image is not available
Business Standards

Sarawak jalin hubungan perdagangan kukuh dengan China

Selain itu, Sarawak juga telah menjalin hubungan perdagangan yang kukuh dengan China, termasuk kejayaan mengeksport metanol ke negara tersebut. Premier Sarawak optimis bahawa hubungan dua hala ini akan terus berkembang dengan lebih banyak peluang kerjasama yang masih belum diterokai.

“Kami percaya terdapat banyak lagi potensi yang boleh dibangunkan bersama China, terutama dalam sektor perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Majlis Rumah Terbuka ini turut dihadiri oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia Dato Sri Tiong King Sing, Presiden UCA Sibu Lau Ing Siong, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Weiping, serta beberapa pemimpin utama lain.

Dengan pencapaian luar biasa ini, adakah Sarawak bakal menjadi antara peneraju utama ekonomi hijau di Malaysia? Nantikan perkembangan lanjut!

Lagi berita terkini untuk anda di sini: