Pendapatan segmen perladangan IOI Corp diunjur meningkat pada FY25 didorong kos lebih rendah, kata RHB Investment

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2024 • 9:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan segmen perladangan IOI Corp diunjur meningkat pada FY25 didorong kos lebih rendah, kata RHB Investment

azan

27/08/2024 - 09:33

KUALA LUMPUR 27 Ogos - RHB Investment menjangkakan pendapatan IOI Corp Bhd daripada segmen perladangan bertambah baik pada FY25 berikutan kos yang lebih rendah.

Katanya, pendapatan bagi segmen hiliran juga akan menunjukkan peningkatan hasil daripada subsegmen oleokimia dan lemak khusus.

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan buah tandan segar bagi FY25-FY26 diramal berkembang antara 4% hingga 5%.

"Pengeluaran BTS meningkat sebanyak 4.2% pada 4QFY24, menjadikan pengeluaran FY24 kepada +4.4%, hampir kepada andaian 5% kami, tetapi di bawah panduan pengurusan sebanyak 7% untuk FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, pendapatan kumpulan itu bagi FY24 berjumlah RM9.6 bilion, lebih rendah berbanding FY23 sebanyak RM11.58 bilion setahun sebelumnya.

Penurunan keuntungan disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembuatan berasaskan sumber, yang diimbangi oleh hasil lebih tinggi daripada segmen perladangan.

Bagi FY24 kumpulan melaporkan untung kasar sebanyak RM1.39 bilion berbanding RM1.52 bilion yang dilaporkan untuk FY23.

RHB Investment melihat peningkatan berurutan pada syarikat bersekutu lemak khususnya, apabila keuntungan meningkat 17% dari suku tahun ke suku tahun, didorong perniagaan di Amerika Utara dan permintaan yang bertambah baik dari Eropah.

Katanya, melangkah ke hadapan, sementara margin penapisan mungkin kekal lemah, kumpulan itu menjangkakan peningkatan dalam permintaan daripada subsegmen oleokimianya pada 1HFY25, disebabkan pembinaan stok di EU menjelang pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) pada akhir 2024.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.50 sesaham," katanya. - DagangNews.com