Pendaratan belangkas meningkat 14.44 peratus dalam tempoh tiga tahun

LocalEnvironment
20 Jun 2026 • 8:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pendaratan belangkas meningkat 14.44 peratus dalam tempoh tiga tahun
Jumlah pendaratan belangkas di negara ini meningkat.

PUTRAJAYA - Jumlah pendaratan belangkas di negara ini merekodkan peningkatan sebanyak 14.44 peratus dalam tempoh tiga tahun, sekali gus menunjukkan perkembangan positif terhadap kelangsungan spesies marin berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, pendaratan belangkas meningkat daripada 232.80 tan metrik pada 2023 kepada 237.65 tan metrik pada 2024 sebelum mencecah 266.42 tan metrik pada tahun lalu.

"Peningkatan itu turut disusuli pertumbuhan nilai borong pasaran belangkas sebanyak 9.32 peratus, daripada RM2.45 juta pada 2023 kepada RM2.68 juta pada 2025," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Belangkas Sedunia 2026 pada Sabtu.

Adnan berkata, walaupun sumbangan belangkas kepada keseluruhan sektor perikanan tangkapan negara hanya sekitar 0.019 peratus, komoditi berkenaan mempunyai nilai premium yang signifikan serta berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada komuniti nelayan pesisir.

"Belangkas merupakan khazanah biodiversiti marin negara yang mempunyai nilai strategik tinggi, bukan sahaja kepada keseimbangan ekosistem pesisir, malah dalam bidang biosains dan bioperubatan.

“Peningkatan pendaratan belangkas yang direkodkan menunjukkan ekosistem pesisir negara masih berupaya menyokong kelangsungan spesies itu," katanya.

Menurutnya, belangkas yang sering digelar sebagai ‘fosil hidup’ merupakan spesies purba yang telah mendiami bumi sejak lebih 400 juta tahun lalu.

"Keunikan spesies itu terletak pada darahnya yang berwarna biru dan mengandungi komponen Amebocyte Lysate yang digunakan dalam ujian keselamatan vaksin serta ubat-ubatan bagi mengesan pencemaran bakteria.

"Malaysia merupakan habitat kepada tiga daripada empat spesies belangkas dunia, iaitu Carcinoscorpius rotundicauda, Tachypleus gigas dan Tachypleus tridentatus," katanya.

Dalam pada itu, Adnan memaklumkan populasi belangkas masih berdepan pelbagai ancaman termasuk kemusnahan habitat akibat pembangunan pesisir, pencemaran sisa plastik serta aktiviti pengambilan telur secara tidak terkawal.

"Sehubungan itu, kita akan terus memperkukuh usaha pemuliharaan melalui penguatkuasaan, penyelidikan saintifik, program pelepasan juvenil dan pewartaan kawasan pembiakan sebagai zon perlindungan bagi memastikan kelestarian spesies itu terus terpelihara untuk generasi akan datang," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved