Pendedahan RCI bukan untuk malukan Tabung Haji

LocalPolitics
9 Oct 2026 • 11:36 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pendedahan RCI bukan untuk malukan Tabung Haji

MELAKA: Pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) bukan bertujuan untuk memalukan institusi itu, sebaliknya memastikan salah laku, kelemahan dalam pengurusan dan pelaburan disiasat serta diambil tindakan.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu penting bagi memastikan institusi yang menguruskan wang simpanan umat Islam terus dipelihara kredibilitinya dan ditadbir secara telus serta bertanggungjawab.

“Ini duit orang Islam. Orang, ibu bapa nak simpan untuk pergi haji, nak dapat keberkatan dalam kehidupan, laksanakan Rukun Islam Kelima sebagai puncak rukun kita sebagai umat Islam.

“Sebab itu kita minta benda ini dibentangkan, kita minta benda ini dibicarakan, kita minta benda ini dibawa ke pengadilan,” katanya ketika berucap pada ‘Ceramah Umum Skandal TH: Siapa Khianat Orang Melayu Islam?’ di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Baru di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari; Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, kelemahan pengurusan TH perlu ditangani secara terbuka dan tidak diselindungkan dengan sentimen agama atau kaum kerana ia adalah usaha mempertahankan amanah serta maruah institusi berkenaan.

Menurutnya, TH merupakan institusi yang dihormati kerana peranannya membantu umat Islam menunaikan ibadah haji, justeru pengurusan kewangan dan pelaburan juga perlu berada pada tahap terbaik bagi memastikan manfaat kepada pendeposit.

Beliau turut membangkitkan penggunaan kaedah creative accounting (perakaunan kreatif) yang didakwa boleh menyebabkan kedudukan kewangan institusi kelihatan lebih kukuh berbanding keadaan sebenar, termasuk dakwaan penilaian aset yang tinggi sebelum dibuat penilaian semula.

“Walaupun duit cash (tunai) tak ada, nampak dalam akaun nampak ada banyak dan diagihkan dalam bentuk dividen. Bukan itu sahaja, ia turut diagihkan dalam bonus kepada ahli lembaga pengarah dan pengerusi,” katanya.

Amirudin berkata, tindakan memperbaiki kedudukan kewangan TH mungkin tidak popular kerana boleh memberi kesan kepada jumlah keuntungan atau dividen tetapi ia perlu dilakukan bagi memastikan institusi berkenaan benar-benar kukuh dalam jangka panjang.

Beliau mempertahankan tindakan kerajaan ketika pentadbiran PH 1.0 yang berusaha memulihkan kedudukan agensi tersebut.

“Dalam pembentangan RCI oleh Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa membuktikan itu adalah fitnah yang berulang-ulang dibuat oleh pimpinan Pas. Sampai sekarang tak ada bukti dan tidak pernah berlaku,” katanya. – UTUSAN 

The post Pendedahan RCI bukan untuk malukan Tabung Haji appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved