PUTRAJAYA – Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilihat sebagai peluang memperkukuh tadbir urus institusi itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, pendedahan laporan tersebut merupakan manifestasi komitmen berterusan kerajaan terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Menurutnya, selama lebih enam dekad TH memainkan peranan penting dalam menguruskan simpanan serta urusan haji jutaan jemaah Malaysia, sekali gus membuktikan kedudukannya sebagai institusi Islam yang menjadi kebanggaan negara serta model pengurusan dana Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Dapatan dan laporan RCI ini dilihat secara positif sebagai peluang berharga untuk memperkukuh kedudukan institusi seperti TH.
“TH telah dan sedang melaksanakan syor-syor penambahbaikan RCI secara teratur demi memelihara kepentingan pendeposit, pematuhan syariah serta kelestarian operasi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelas Zulkifli, seiring pelaksanaan pembaharuan itu, TH terus mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh selain membuktikan keupayaannya sebagai antara pengurus haji terbaik dunia.
Menurut beliau, kejayaan TH merangkul Anugerah Labbaytum kategori Diamond daripada Kerajaan Arab Saudi secara konsisten menjadi bukti pengiktirafan terhadap mutu pengurusan haji negara.
Katanya, pelaksanaan syor RCI dan pencapaian tersebut akan menjadi pemangkin kepada TH untuk terus mencipta kecemerlangan, memacu inovasi perkhidmatan serta memberikan nilai pulangan yang optimum kepada para pendeposit.
“Seluruh agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan sokongan padu bagi memastikan TH kekal mampan, sentiasa diyakini oleh umat Islam serta berterusan menjadi peneraju pengurusan haji negara,” ujar beliau.
Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju mengklasifikasikan semula dan mendedahkan Laporan RCI mengenai TH bagi tempoh 2014 hingga 2020. Laporan berkenaan turut akan dibentangkan dan dibahaskan dalam satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
Kabinet turut memutuskan supaya siasatan penuh oleh badan-badan penguat kuasa berdasarkan dapatan laporan RCI diteruskan serta-merta, manakala mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan.






