KUALA LUMPUR - Pendekatan silo tidak lagi relevan dalam usaha membanteras rasuah, sebaliknya penyelesaian bersifat menyeluruh, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurutnya, SPRM tidak boleh dan tidak akan berjaya jika bergerak bersendirian.
"Dalam landskap hari ini, rasuah dan amalan tidak beretika tidak berlaku dalam vakum, tetapi ia melibatkan rangkaian yang merentas sektor awam, korporat, kewangan dan antarabangsa.
"Oleh itu, penyelesaiannya juga mesti bersifat menyeluruh," katanya semasa berucap di Wacana Ilmiah Perdana di World Trade Centre (WTC) di sini pada Selasa.
Azam berkata, dari dasar untuk membentuk masyarakat yang berintegriti, ia memerlukan institusi pendidikan untuk membentuk nilai, sektor awam dan korporat untuk mengamalkan tadbir urus yang telus selain media menyampaikan maklumat yang tepat serta bertanggungjawab.
Katanya, masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada usaha pencegahan.
"Pendekatan silo tidak lagi relevan. Sebaliknya, kita perlu bergerak melalui pendekatan whole-of-government dan whole-of-society," ujarnya.
Jelas beliau, platform seperti Pasukan Petugas Khas Agensi-agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang diterajui oleh SPRM dan Pejabat Peguam Negara telah membuktikan bahawa apabila agensi bekerjasama, berkongsi maklumat dan bertindak secara bersepadu.
"Kita bukan sahaja dapat mengekang jenayah tetapi memutuskan rantaian dan menghancurkan keseluruhan ekosistem jenayah tersebut.
"Satu lagi cabaran besar yang tidak boleh kita abaikan adalah persepsi dan kepercayaan rakyat.
"Dalam era maklumat tanpa sempadan hari ini, persepsi boleh terbentuk lebih cepat daripada fakta.
"Walaupun tindakan telah diambil, jika ia tidak difahami, tidak diyakini atau disalah tafsir, maka kesannya boleh dimanupulasi untuk membentuk naratif pihak berkepentingan, terutamanya mereka yang disiasat," ujarnya.
Menurut Azam, kepercayaan tidak boleh dibina melalui kenyataan semata-mata.
"Ia perlu boleh dibina melalui tindakan yang konsisten, ketelusan dalam proses dan keberanian untuk bertindak tanpa rasa takut serta pilih kasih," ujarnya.
Dalam pada itu, Azam turut menyampaikan pesanan kepada generasi muda agar usah sesekali menganggap rasuah sebagai sesuatu yang kecil atau biasa.
"Kerana hakikatnya, rasuah besar bermula daripada kompromi kecil.
"Ia bermula apabila kita memilih untuk 'tutup mata', kita menganggap perkara kecil tidak memberi kesan atau kita berkompromi dengan prinsip demi keselesaan," katanya.
