KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Young Syefura Othman percaya dengan sikap profesional Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam berdepan provokasi individu semasa berucap di World Trade Centre (WTC) di sini.
Young Syefura yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, beliau terkejut dengan situasi yang berlaku itu.
"Ini demokrasi sesiapa boleh buat protes dan sebagainya tapi ialah...tak pasti sesuai atau tidak.
**media[3484541]**
"Ketidakpuasan boleh tunjukkan tapi saya percaya yang paling penting adalah sikap dari KP (Ketua Pesuruhjaya) sendiri bagaimana sangat profesional dalam uruskan situasi tersebut.
"Semestinya saya terkejut sebab banyak kali pergi forum dan ini pertama kali berlaku sewaktu saya dalam forum tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas wacana terbabit di sini pada Selasa.
Insiden kira-kira jam 2.45 petang itu berlaku semasa Azam memberi ucapan pembukaan Wacana Ilmiah Perdana yang turut disertai Young Syefura; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Ketua Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Seri Rosmamn Mohamed; serta Naib Canselor Asia e University, Prof Dr Noor Raihan Ab Hamid sebagai panelis.
**media[3484537]**
Terdahulu, dua lelaki dilihat berjalan menuju ke arah Azam dan mengangkat sepanduk tanda tidak berpuas hati serta menjerit.
Mengulas lanjut kata beliau, apa yang penting bagaimana pihak Ketua Pesuruhjaya dan SPRM mengatasi serta menguruskan situasi itu.
"Saya percaya Tan Sri (Azam) sentiasa sedia dengan segala kemungkinan.
"Bukan sahaja Tan Sri, tapi boleh berlaku pada Perdana Menteri kita pun. Pernah berlaku kan di mana orang datang utarakan soalan tidak sepatutnya. M ungkin boleh berlaku kepada saya juga.
"Inilah yang boleh berlaku kepada kami dan kita kena sentiasa sedia. Paling penting bagaimana kita awasi dan atasi situasi itu," ujarnya.
**media[3484538]**
Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terhadap ketenangan dan profesionalisme yang ditunjukkan Azam dalam mengendalikan situasi tersebut.
"Beliau (Azam) kekal fokus, tidak terprovokasi dan meneruskan ucapan hingga selesai dengan penuh wibawa yang kemudiannya disambut dengan tepukan gemuruh oleh para hadirin," ujarnya.
Jelas Jais, MCW menegaskan sokongan penuh terhadap kepimpinan dan keteguhan Azam dalam melaksanakan amanah memerangi rasuah termasuk berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan terbuka seperti ini.
"Dalam sebuah negara demokrasi, ruang untuk menyuarakan pandangan adalah diiktiraf, namun ia mestilah dilakukan dengan tertib, beretika dan tidak menjejaskan keharmonian majlis ilmiah.
"MCW ingin menasihatkan mana-mana pihak yang mempunyai ketidakpuasan hati agar bersabar dan memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang berjalan dan dijangka mencapai penyelesaian dalam masa terdekat.
"Segala bentuk tuduhan atau persepsi wajar ditangani melalui saluran yang sah dan berlandaskan fakta," ujarnya.
