Pendidikan fleksibel UiTM jadi pilihan, lebih 6,000 mohon program separuh masa

LocalBusiness & Finance
29 Apr 2026 • 10:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pendidikan fleksibel UiTM jadi pilihan, lebih 6,000 mohon program separuh masa
Bagi sesi akademik terkini, lebih 1,500 pelajar aktif direkodkan mengikuti program separuh masa di bawah iCEPS

SHAH ALAM - Program pendidikan fleksibel yang ditawarkan Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar dewasa dan individu bekerja yang ingin melanjutkan pengajian secara separuh masa.

Bagi sesi akademik terkini, lebih 1,500 pelajar aktif direkodkan mengikuti program separuh masa di bawah iCEPS, manakala jumlah permohonan kemasukan mencatatkan lebih 6,000 permohonan.

Perkembangan itu sekali gus menunjukkan permintaan tinggi terhadap program pendidikan fleksibel yang ditawarkan.

Dalam usaha memastikan kelancaran proses kemasukan pelajar baharu, satu taklimat pendaftaran pelajar baharu secara dalam talian telah diadakan pada awal April 2026.

Program berkenaan berjaya menarik penyertaan kira-kira 700 pelajar, mencerminkan kesediaan mereka untuk memulakan perjalanan akademik secara sistematik dan terancang.

Program pengajian secara mod fleksibel atau separuh masa itu dilihat amat bersesuaian khususnya kepada golongan pelajar dewasa dan bekerja kerana memberi peluang mengimbangi komitmen kerjaya, keluarga dan pengajian secara serentak.

Pendekatan itu juga selari dengan agenda pembelajaran sepanjang hayat, sekali gus memperluas akses kepada pendidikan tinggi kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Seorang pelajar program BA274 Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Operasi, Khadijah Hanafiah berkata, pemilihan iCEPS dibuat kerana beberapa faktor utama yang memudahkan perjalanan pengajiannya.

“Saya memilih iCEPS kerana lokasinya yang strategik dan berhampiran dengan tempat tinggal saya, sekali gus memudahkan urusan menghadiri kelas.

“Selain itu, yuran pengajian yang berpatutan menjadikannya pilihan lebih mampu milik, khususnya bagi golongan bekerja,” katanya.

Secara keseluruhannya, perkembangan positif yang ditunjukkan pelajar iCEPS bukan sahaja membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan fleksibel, malah mencerminkan keupayaan institusi dalam menyediakan platform pendidikan berkualiti yang relevan dengan keperluan semasa.