TANJONG MALIM – Sistem pendidikan tinggi perlu lebih fleksibel bagi menghadapi perubahan global yang semakin pesat, selaras dengan perkembangan teknologi, keperluan industri serta jangkaan baharu generasi pelajar masa kini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Beliau berkata pendekatan pendidikan tradisional yang terlalu berstruktur tidak lagi mencukupi, sebaliknya institusi pengajian tinggi perlu berani melakukan transformasi dengan memperkenalkan model pembelajaran yang lebih anjal, relevan dan berorientasikan masa depan.
Mohammad Shatar berkata demikian ketika menyampaikan sesi perkongsian pakar bertajuk “The Future Higher Education Landscape” yang dihadiri 531 kakitangan akademik dan bukan akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan SITC, di sini, menerusi program Teaching, Learning, Assessment and Supervision (TLAS) anjuran Pusat Pembangunan Akademik UPSI.
Turut hadir Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan warga universiti.
Menurut beliau, antara langkah penting dalam meningkatkan fleksibiliti pendidikan tinggi ialah memperluas laluan pembelajaran alternatif bagi menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat, termasuk pelaksanaan micro credentials, Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) serta pengukuhan Work-Based Learning (WBL 2.0).
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran secara lebih fleksibel serta memperoleh pengalaman yang lebih dekat dengan keperluan sebenar industri.
“MQA komited untuk memberi ruang kepada institusi pengajian tinggi membuat penyesuaian terhadap struktur program supaya kurikulum kekal relevan dengan perkembangan semasa dan kehendak pasaran kerja.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pensyarah juga perlu menyesuaikan kaedah pengajaran agar selari dengan perubahan landskap pendidikan tinggi, dengan berperanan sebagai pemudah cara yang mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelajar.
Beliau berkata pendekatan pembelajaran seperti konsep 3L iaitu learn by doing, learn by seeing dan learn by listening perlu diperkasakan bagi meningkatkan penglibatan pelajar serta memastikan proses pembelajaran lebih berkesan.
“Pembangunan pelajar perlu dilihat secara holistik merangkumi aspek fizikal, sosial, spiritual dan psikologi bagi melahirkan graduan yang seimbang, berdaya saing serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global,” ujar beliau.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)

