GEORGE TOWN – Puluhan ribu penduduk dari beberapa kawasan perumahan di Gelugor menyuarakan bantahan keras terhadap cadangan pembangunan bercampur kepadatan tinggi.
Menurut mereka, Lot 642, Bandar Gelugor didakwa bakal memberi kesan besar kepada kesesakan trafik, kemudahan awam serta keseimbangan alam sekitar.
Pengerusi Persatuan Kejiranan Gelugor, Datuk Ahmad Ibnihajar berkata, cadangan projek oleh sebuah syarikat pemaju itu melibatkan pembinaan empat menara pangsapuri kediaman iaitu dua blok setinggi 45 tingkat dan dua blok setinggi 61 tingkat.
Selain itu katanya, ia juga melibatkan komponen pejabat serta komersial di atas tanah kerajaan seluas kira-kira 14.5 ekar yang sebelum ini dimiliki Telekom Malaysia.
**media[3471635]**
Kata beliau, bantahan itu dikemukakan secara bersama oleh penduduk dari beberapa kawasan termasuk Taman Tun Sardon, Minden Heights, Taman Brown, Pemancar dan Bukit Gelugor.
"Projek berkenaan dicadangkan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan jumlah keseluruhan 3,513 unit pangsapuri.
"Fasa pertama melibatkan pembinaan dua menara kediaman setinggi 45 tingkat dengan dua aras bawah tanah yang merangkumi unit Rumah Mampu Milik (RMM) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) selain ruang pejabat serta komersial membabitkan sebanyak 1,309 unit kediaman," jelasnya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah beliau, bagi fasa kedua pula, sebuah perumahan setinggi 61 tingkat dengan satu aras bawah tanah akan dibina yang mengandungi 1,128 unit.
"Fasa ketiga turut melibatkan pembinaan satu lagi menara kediaman setinggi 61 tingkat dengan satu aras bawah tanah yang menempatkan 1,076 unit pangsapuri.
"Oleh itu, dianggarkan pembangunan dengan nisbah plot 1:5 itu berpotensi menambah kira-kira 14,000 penduduk baharu atau sekitar 965 orang bagi setiap ekar kawasan.
"Selain itu, projek berkenaan dijangka menambah kira-kira 7,000 kenderaan di rangkaian jalan raya sekitar kawasan tersebut. Sudah lah jalan di sini sempit, ditambah pula dengan pertambahan jumlah kenderaan, memang akan sesak teruk terutamanya pada waktu pagi," katanya lagi.
Ahmad menambah, jumlah itu berkemungkinan meningkat sekiranya digabungkan dengan pembangunan berhampiran seperti Ideal Residency dan Venice Apartments di sepanjang Jalan Lembah yang boleh meningkatkan populasi tempatan sehingga 25,000 orang serta tambahan kira-kira 11,000 kenderaan.
Menurutnya, skala dan kepadatan pembangunan yang dicadangkan itu tidak selari dengan karakter kejiranan sedia ada di kawasan berkenaan.
"Keadaan itu dibimbangi akan menyebabkan kesesakan teruk di jalan utama serta limpahan trafik ke kawasan perumahan berhampiran.
"Selain isu trafik, kami juga bimbang pembangunan tersebut akan memberi tekanan besar terhadap infrastruktur sedia ada sekali gus menjejaskan daya tahan komuniti serta keseimbangan alam sekitar di kawasan berkenaan," katanya lagi.
Ahmad menambah, lebih membimbangkan, kawasan hijau di Gelugor semakin berkurangan susulan pembangunan pesat serta pembinaan laluan pintasan Air Itam–Lim Chong Eu Expressway Bypass.
"Sekiranya projek itu diteruskan, penduduk di Taman Tun Sardon, Pemancar, Kampung Kastam dan Bukit Gelugor dikhuatiri akan kehilangan antara kawasan hijau terakhir yang masih boleh diakses komuniti setempat.
"Cadangan projek berkenaan juga tidak sejajar dengan aspirasi Penang 2030 yang menekankan pembangunan bandar mampan, daya tahan komuniti, perlindungan alam sekitar, keselamatan awam serta tindakan terhadap perubahan iklim," ujarnya.
Bercerita lanjut, Ahmad berkata, kebimbangan penduduk itu telah dipanjangkan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada dua tahun lalu namun tiada jawapan yang diperolehi daripada pihak kerajaan negeri.
"Penduduk telah mengemukakan petisyen kepada Ketua Menteri pada 7 November 2024 bagi memohon Lot 642 dijadikan taman hijau komuniti namun sehingga kini kami belum menerima sebarang maklum balas rasmi.
"Sehubungan itu, kami penduduk di sini menggesa pihak berkuasa menolak cadangan pembangunan tersebut dalam bentuk semasa dan sebaliknya menukar kawasan berkenaan kepada taman hijau atau taman alam semula jadi untuk kegunaan komuniti Gelugor," katanya.
Beliau berkata, selain surat kepada Kon Yeow, satu sesi pendengaran bantahan awam yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah diadakan pada 4 Mac lalu.
Menurutnya, seramai 60 wakil penduduk hadir dalam sesi berkenaan dengan 18 daripadanya tampil menyuarakan bantahan terhadap projek tersebut.
"Kami turut melancarkan satu petisyen dalam talian bagi mengumpul sokongan orang ramai untuk menolak cadangan pembangunan tersebut," tambahnya.
Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran ketika dihubungi berkata, MBPP pada waktu ini sedang mempertimbangkan permohonan kebenaran merancang daripada syarikat pemaju berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.
