PUTRAJAYA - Seorang penduduk Kampung Orang Asli Perjek, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap di Sungai Siput, Perak, disahkan cedera selepas diserang seekor gajah ketika cuba menghalau sekumpulan haiwan liar itu yang memasuki kawasan kampung, Jumaat lepas.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan petugas Perhilitan Daerah Sungai Siput digerakkan ke lokasi bagi mendapatkan maklumat awal dan menjalankan siasatan setelah makluman mengenai kejadian itu diterima pada kira-kira 10 malam.
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan mendapati sekumpulan empat ekor gajah telah memasuki kawasan belakang rumah penduduk dan memakan tanaman ubi kayu serta pisang.
"Mangsa bersama beberapa penduduk kampung telah cuba menghalau kumpulan gajah tersebut. Semasa usaha itu dijalankan, mangsa berada pada jarak terlalu hampir dengan kumpulan gajah sebelum tiba-tiba diserang oleh seekor gajah.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan, pendarahan serta tidak sedarkan diri,” menurut kenyataan itu.
Perhilitan memaklumkan mangsa yang diselamatkan penduduk kampung kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Jabatan itu turut mengesahkan bawah pemantauan menggunakan dron mendapati kumpulan gajah yang terlibat dalam inisiden tersebut telah beredar dari kawasan kampung dan tindakan pengurusan bersesuaian diambil bagi mengurangkan risiko konflik antara manusia serta hidupan liar di kawasan berkenaan.
"Perhilitan akan membantu waris atau keluarga mangsa mendapatkan bantuan melalui inisiatif Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam," menurut kenyataan itu.
Sehubungan kejadian itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk menghalau hidupan liar, khususnya gajah kerana boleh mengundang risiko kepada keselamatan.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam di laman sesawang rasmi Perhilitan. - Bernama






