
JOHOR BAHRU – Penduduk Pasir Gudang resah dan kecewa apabila Sungai Kim Kim sekali lagi didakwa tercemar selepas airnya bertukar putih seperti tular dalam media sosial semalam.
Situasi itu mengundang kebimbangan dalam kalangan penduduk yang masih trauma dengan tragedi pencemaran sisa toksik di sungai sama pada 2019 sehingga menyebabkan ribuan orang terjejas.
Lebih membimbangkan, insiden terbaharu itu turut dikaitkan dengan dakwaan pencemaran bau yang dikesan di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang sejak malam tadi.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu selepas menerima aduan berhubung kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pegawai JAS yang tiba di lokasi berkenaan mendapati air sungai kembali kepada seperti sedia kala.
“Apabila sampai di lokasi, warna sungai sudah tidak putih lagi. Jadi, kemungkinan kejadian itu berlaku akibat pembuangan bahan ke dalam sungai secara sekali sahaja,” katanya.
Beliau berkata, JAS Johor dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melakukan pencemaran mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
Terdahulu, seorang pengguna Threads, Nasrul Nordin berkongsi beberapa keping gambar yang menunjukkan air Sungai Kim Kim bertukar warna putih di jalan pintasan antara Taman Pasir Putih dan Kota Masai.
Kejadian itu menyebabkan orang ramai kesal kerana ia didakwa bukan perkara baharu, selain menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Pada 7 Mac 2019, Sungai Kim Kim pernah menggemparkan negara apabila lebih 2,000 orang terjejas kesihatan, manakala 111 buah sekolah di Pasir Gudang terpaksa ditutup ekoran pencemaran.
Pada 9 September lalu, seramai 171 mangsa tragedi itu mendapat pembelaan apabila Mahkamah Tinggi Sivil di sini memutuskan mereka menang dalam saman sivil terhadap empat defendan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Manira Mohd. Nor turut mengarahkan empat defendan terbabit membayar kos guaman berjumlah RM100,000 kepada semua plaintif.
Defendan berkenaan ialah kilang pemprosesan tayar terpakai, P Tech Resources Sdn. Bhd., dua pengarah syarikat warga Singapura, Wang Jing Chao, 41, dan Yap Yoke Liang, 43, serta pemandu lori, N. Maridass, 42. -KOSMO! ONLINE
The post Penduduk kecewa, resah Sungai Kim Kim tercemar lagi appeared first on Kosmo Online.




