Penduduk Kinabatangan hadiri majlis tahlil 40 hari Bung Moktar

LocalPolitics
13 Jan 2026 • 10:28 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Ratusan penduduk Kinabatangan hadir majlis tahlil 40 hari Bung Moktar Radin, mengenang jasa dan legasi pembangunan bekas wakil rakyat mereka.

KINABATANGAN: Ratusan penduduk membanjiri Masjid Daerah Kinabatangan untuk majlis tahlil dan bacaan Yasin sempena 40 hari pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Majlis yang dihadiri ahli keluarga termasuk anaknya, Mohd Kurniawan Naim, turut disertai pemimpin tempatan dan penduduk dari pelbagai kawasan.

Penduduk Kampung Lamag, Abdul Manan Jumat, 62, berkata pemergian Bung Moktar meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh masyarakat.

Beliau berkata jasa Allahyarham sukar digambarkan, namun kesannya masih dirasai melalui kemudahan dan prasarana yang dinikmati hari ini.

“Apa yang kami nikmati hari ini, termasuk keadaan masjid yang serba lengkap adalah hasil sumbangan beliau,” katanya.

Penduduk dari Sukau, Muhammad Rahmad Ahmad, 42, menyifatkan perubahan pembangunan di Kinabatangan sejak 1999 sebagai bukti legasi Bung Moktar.

Beliau berkata perbezaan ketara dapat dilihat dalam aspek kemudahan asas, pendidikan dan prasarana awam.

Menteri Pelancongan Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata kehadiran ramai penduduk mencerminkan penghargaan terhadap jasa Allahyarham.

Beliau berkata perubahan jelas dapat dilihat dengan pertambahan sekolah, bank, hospital dan balai bomba hasil perjuangan Bung Moktar.

Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 5 Disember tahun lalu.

Pemergiannya mengakibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag perlu diadakan.

PRK Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan anak Allahyarham, Mohd Kurniawan Naim dari BN.

Hari pengundian bagi kedua-dua kerusi ditetapkan pada 24 Januari ini.