Penduduk Malaysia 2024 dianggar 34.1 juta, lelaki melebihi perempuan pada nisbah 111: 100 - DOSM

31 Jul 2024 • 4:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penduduk Malaysia 2024 dianggar 34.1 juta, lelaki melebihi perempuan pada nisbah 111: 100 - DOSM

herman

31/07/2024 - 16:27

KUALA LUMPUR 31 Julai - Jumlah penduduk Malaysia pada 2024 dianggarkan berjumlah 34.1 juta orang berbanding 33.4 juta pada 2023 dengan bilangan lelaki melebihi perempuan iaitu 17.9 juta lelaki dan 16.2 juta perempuan.

Dalam Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nisbah jantina bagi keseluruhan penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

"Bagi tempoh 2023-2024, nisbah jantina kekal 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan untuk warganegara manakala bagi bukan warganegara meningkat kepada 228 dari 226 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

"Secara keseluruhan, kesemua negeri di Malaysia mencatatkan bilangan lelaki melebihi perempuan kecuali bagi negeri Perlis (99) dan W.P. Putrajaya (98).

"Negeri yang mencatatkan nisbah jantina tertinggi adalah Kuala Lumpur dengan 117 lelaki bagi setiap 100 perempuan diikuti oleh Johor (116), Selangor (115) dan Pahang (114)," kata DOSM dalam kenyataan media hari ini.

image is not available

Anggaran penduduk semasa adalah berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, 2020. Anggaran penduduk ini menggunakan kaedah komponen kohort yang meliputi kelahiran, kematian dan migrasi.

Kata DOSM, Bumiputera menyumbang 70.4 peratus daripada 30.7 juta Warganegara pada 2024 (2023: 70.1%).

"Walau bagaimanapun, komposisi Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.4% (2023: 22.6%) dan 6.5% (2023: 6.6%), manakala lain-lain kekal pada 0.7%," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penduduk warganegara meningkat daripada 30.4 juta pada 2023 kepada 30.7 juta pada 2024 dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan 0.7% daripada 0.8% pada tahun sebelumnya.

Katanya, penduduk bukan warganegara menunjukkan trend yang sama dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 13.6% pada 2024 berbanding 17.1% pada 2023.

"Sabah (4.0%), Kuala Lumpur (3.0%), Selangor (2.1%) dan Johor (1.9%) telah melepasi kadar pertumbuhan nasional. Tiga negeri yang mencatatkan peratusan komposisi penduduk tertinggi pada 2024 ialah Selangor (21.6%), diikuti Johor (12.3%) dan Sabah (11.0%).

"Sebaliknya, Labuan dan Putrajaya mencatatkan peratusan komposisi penduduk terendah iaitu masing-masing 0.3% dan 0.4%. Komposisi penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada 2024 menurun kepada 22.2% berbanding 22.7% pada 2023," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.9% pada 2023 kepada 70.1% pada 2024. Peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.4% kepada 7.7% bagi tempoh yang sama.

"Umur penengah penduduk Malaysia mencecah 30.9 tahun pada 2024 iaitu meningkat daripada 30.7 tahun berbanding tahun sebelum.

"Komposisi penduduk warganegara pada 2024 menurun daripada 91.1 peratus (2023) kepada 90.0 peratus. Sementara itu, komposisi penduduk bukan warganegara meningkat kepada 10.0% daripada 8.9% bagi tempoh yang sama, komposisi tertinggi sejak lima tahun yang lalu menghampiri paras semasa pra pandemik (2017-2018)," jelasnya.

image is not available

Dr Mohd Uzir berkata, peningkatan ini adalah kesan daripada pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April 2022.

Di samping itu, katanya, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) telah dilaksanakan bermula November 2020 yang diikuti dengan RTK 2.0 dengan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023 yang menyumbang kepada peningkatan bilangan bukan warganegara di Malaysia.

Sementara itu, Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk muda (0-14 tahun) tertinggi pada 2024 dengan 34.7% manakala Kuala Lumpur mencatatkan komposisi penduduk umur bekerja (15-64 tahun) tertinggi iaitu 75.9%.

"Pada tahun sebelum ini, sebanyak lapan buah negeri telah mencapai negeri menua iaitu komposisi penduduk umur 65 tahun dan lebih (umur tua) melebihi 7% iaitu Perak, Kedah, Sarawak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Menurut DOSM, Perak kekal sebagai negeri paling menua dengan 9.9% pada 2024, manakala Kelantan telah muncul sebagai negeri menua yang terbaru dengan 7.0% penduduk berada dalam kumpulan umur ini.

"Seiring dengan pertambahan penduduk, kepadatan penduduk Malaysia juga telah meningkat kepada 103 orang (2024) berbanding 101 orang bagi setiap kilometer persegi pada tahun 2023.

"Kuala Lumpur merupakan negeri yang paling padat dengan 8,518 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh W.P. Putrajaya (2,440 orang) dan Pulau Pinang (1,746 orang).

"Sarawak mempunyai kepadatan penduduk terendah dengan 20 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh Pahang (46 orang) dan Sabah (51 orang)," ujarnya. - DagangNews.com