Penduduk Malaysia kini cecah 33.5 juta, meningkat 1.8% pada suku ketiga 2023 - DOSM
zulfadli
07/11/2023 - 12:35
KUALA LUMPUR 7 Nov - Jumlah penduduk Malaysia pada suku ketiga 2023 dianggarkan 33.5 juta, meningkat 1.8% berbanding 32.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penduduk lelaki meningkat daripada 17.2 juta kepada 17.5 juta berbanding suku tahun ketiga 2022 manakala perempuan meningkat daripada 15.7 juta kepada 16 juta bagi tempoh yang sama.
"Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan," katanya dalam kenyataan media berhubung Perangkaan Demografi bagi suku tahun ketiga 2023 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) kekal tidak berubah pada 7.6 juta pada suku tahun ketiga 2023 berbanding suku tahun ketiga 2022.
Sementara itu, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.9 juta kepada 23.4 juta berbanding suku tahun ketiga 2022.
Komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.4 juta kepada 2.5 juta bagi tempoh yang sama.
Mohd Uzir berkata, jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 2.8% (110,354 kelahiran) berbanding suku tahun ketiga 2022 (113,506 kelahiran).

Katanya, bayi lelaki melebihi perempuan dengan 57,260 kelahiran berbanding 53,094 kelahiran bayi perempuan.
"Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,648 kelahiran (18.7%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (375 kelahiran: 0.3%).
"Umur ibu 30-39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi pada suku tahun ketiga 2023 iaitu 54,451 (49.3%), diikuti oleh ibu berumur 20-29 tahun (44.0%), 40 tahun dan lebih (4.7%) dan kurang daripada 20 tahun (2.0%)," katanya.
Melayu menyumbang 67.3% (74,202 kelahiran hidup) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku ketiga 2023. Kelahiran hidup bagi Cina dan India masing-masing menurun kepada 9% dan 3.8% berbanding 9.7% dan 4.2% pada suku ketiga 2022.
Manakala, Bumiputera lain merekodkan peningkatan kepada 14.2% pada suku ketiga 2023.
Mohd Uzir berkata, sebanyak 46,646 kematian dicatatkan pada suku ketiga 2023, penurunan sebanyak 10% berbanding suku ketiga 2022 (51,841 kematian).
Katanya, bilangan kematian bagi lelaki adalah 26,520 manakala 20,126 kematian bagi perempuan.
"Pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,217 kematian (15.5%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 72 kematian (0.2%).
"Dari segi umur, bilangan kematian umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 32,417 kematian (69.5%), diikuti oleh umur 41-59 tahun (20.8%), umur 15-40 tahun (7.2%) dan umur 0-14 tahun (2.5%)," katanya.
Tambahnya, Melayu menyumbang 51.3% (23,922 kematian) daripada jumlah kematian pada suku tahun ketiga 2023. Kematian bagi Bumiputera Lain dan Cina meningkat kepada 11.3% dan 26.4% pada suku tahun ketiga 2023 berbanding 10.7% dan 25.8% pada suku tahun ketiga 2022.
"Jumlah kematian bagi India kekal tidak berubah pada 8.3% pada suku tahun ketiga 2023," katanya. - DagangNews.com


