
PENDUDUK Manggatal dan seorang lagi dari Kepayan masing-masing membangkitkan isu penyelenggaraan longkang yang didakwa tidak memuaskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di kawasan mereka.
Penduduk Manggatal itu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerja pembersihan kelodak dan rumpai yang dilakukan secara tidak menyeluruh di sepanjang longkang besar di satu sisi Taman Sepanggar Fasa 2.
KAKITANGAN UCD memeriksa keadaan longkang tepi jalan di Lorong Rampai.Menurutnya,kontraktor JPS mula menjalankan kerja pembersihan struktur longkang di luar Lorong Buah Mempelam 3C kira-kira tiga bulan lalu namun kerja berkenaan didakwa dibiarkan separuh siap.
Katanya kesan tanah merah masih kelihatan pada dinding longkang di beberapa bahagian, manakala rumpai air masih memenuhi bahagian lain, khususnya berhampiran saluran keluar longkang itu.
Pemilik rumah berkenaan beranggapan kontraktor terbabit melakukan kerja secara sambil lewa kerana tapak berkenaan sudah lama ditinggalkan.
Menurutnya, jengkaut yang digunakan juga sudah dialihkan dan tiada lagi pekerja menjalankan kerja di lokasi berkenaan.
Sementara itu penduduk Kepayan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap timbunan rumpai yang ditinggalkan selepas longkang di hadapan rumahnya dibersihkan kali terakhir pada September lalu.
Ujarnya kejadian meninggalkan timbunan rumpai yang mencacatkan pemandangan di tepi jalan di Taman Selesa itu bukan kali pertama berlaku.
Individu berkenaan mendakwa perkara itu berlaku sekali-sekala sejak bertahun-tahun lalu.
Menurutnya sisa lumpur dan rumpai itu akhirnya mengering sebelum diterbangkan angin masuk semula ke dalam longkang atau dihanyutkan kembali ke situ apabila hujan.
Kedua-dua penduduk berkenaan mengemukakan butiran aduan masing-masing kepada ruangan Hotline, sebelum aduan itu disalurkan kepada agensi berkaitan.
Jurucakap JPS berkata pihaknya perlu menyemak terlebih dahulu dakwaan penduduk Manggatal itu.
“Jika dakwaan itu terbukti benar, kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja berkenaan akan dipanggil untuk memberi penjelasan.
“Bayaran kepada kontraktor tidak akan dibuat sehingga kami berpuas hati bahawa kerja itu telah disiapkan dengan sempurna,” katanya.
SEORANG pekerja syarikat konsesi kerajaan meletakkan kelodak yang dikeluarkan dari longkang di tepi jalan di Taman Selesa.Beliau berkata sebuah jengkaut telah ditempatkan di lokasi bagi memudahkan kerja membuang kelodak dari longkang besar itu pada penghujung Julai.
Menurutnya kakitangan jabatan berkenaan telah memeriksa keadaan longkang monsun di kawasan KKIP-Utara sebulan sebelum itu.
“Mereka mendapati rumpai memenuhi sebahagian besar ruang di dalam longkang, manakala tanah rizab di kedua-dua sisinya ditumbuhi semak samun.
“Kami berharap dapat memulakan kerja menangani masalah itu pada penghujung Jun iaitu tempoh longkang berkenaan biasanya diselenggara namun urusan dalaman menyebabkan kerja itu tertangguh,” jelasnya.
Jurucakap itu berkata JPS tidak mempunyai jadual tetap bagi kerja penyelenggaraan longkang monsun.
“Kami berusaha membersihkan longkang di luar sempadan bandar setiap tahun.
“Jika peruntukan mengizinkan, kerja itu mungkin dilaksanakan sekali lagi pada tahun yang sama,” katanya.
Beliau berkata longkang di bawah seliaan JPS di ibu negeri lazimnya diselenggara antara tiga hingga empat kali setahun.
Bagi Taman Selesa, DBKK telah meminta syarikat konsesi yang dilantik kerajaan supaya meningkatkan usaha menyelenggara longkang di hadapan rumah penduduk di kawasan perumahan berkenaan.
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya (UCD) DBKK menafikan dakwaan pembayar cukai bahawa kelodak yang ditinggalkan di tepi longkang itu berpunca daripada kakitangan jabatan berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa kerja membersihkan longkang di hadapan rumah dilakukan oleh syarikat konsesi, manakala DBKK bertanggungjawab terhadap longkang di bahagian belakang kediaman.
“Longkang di hadapan rumah dibersihkan mengikut jadual tetap. Perkara sama turut dilakukan terhadap longkang di belakang rumah setiap enam bulan,” katanya.
Beliau berkata pihak konsesi sudah dimaklumkan mengenai rasa tidak puas hati pembayar cukai di Taman Selesa.
“Kami meminta syarikat itu kembali ke kawasan berkenaan untuk membersihkan kelodak yang ditinggalkan.
“Setakat itu sahaja yang boleh kami lakukan kerana kerja penyelenggaraan longkang di sepanjang jalan perumahan bukan di bawah tanggungjawab kami,” ujarnya.
Jelasnya adalah tidak wajar untuk mengharapkan DBKK mengambil alih tugas yang gagal dilaksanakan oleh syarikat berkenaan.
“Kami sudah berbincang dengan pihak konsesi mengenai perkara ini. Jika perlu, kami boleh mengemukakan permintaan secara bertulis,” katanya.
Jurucakap itu berkata kakitangan UCD sebelum ini turun padang ke Taman Selesa untuk mengesahkan keadaan longkang tepi jalan yang memerlukan kerja pembersihan.
Menurutnya pihak konsesi turut dimaklumkan pada September mengenai hasil pemeriksaan di Lorong Rampai, yang mempunyai panjang kira-kira 769.8 meter.
“Kami difahamkan pekerja syarikat berkenaan pergi ke kawasan perumahan itu pada keesokan harinya untuk membersihkan longkang di situ,” maklumnya.


