Penduduk SFI rayu sambung semula bekalan elektrik, air

11 Aug 2023 • 12:21 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Hampir 1,000 penduduk di perumahan Sabah Forest Industries (SFI) Sipitang merayu kepada kerajaan negeri untuk menyambung semula bekalan elektrik dan air yang diputuskan sejak tiga bulan lalu.

Wakil penduduk, Jeffridin Baudi, berkata kehidupan penduduk yang masih tinggal di perumahan SFI terjejas berikutan kedua-dua bekalan telah diputuskan.

“Sudah tiga bulan kami tidak mempunyai bekalan elektrik dan air. Bayangkan bagaimana kehidupan seharian kami tanpa elektrik dan air.

“Ada 674 ketua isi rumah yang masih tinggal di perumahan SFI kerana mereka tidak berkemampuan untuk berpindah disebabkan tiada rumah atau tanah sendiri.

SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Selain itu, tiga sekolah yang ada di sekitar SFI juga turut terjejas,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Menara Kinabalu di sini pada Khamis.

Jeffridin yang juga bekas pekerja SFI memaklumkan bahawa penduduk juga telahpun mendapat perintah mahkamah bahawa pengusiran tidak berlaku sepanjang proses mengambil alih syarikat itu masih berlangsung di mahkamah.

Mengulas lanjut, Jeffridin berkata, perintah mahkamah itu turut membabitkan isu tanah di SFI tidak boleh diganggu atau diceroboh sepanjang kes berlangsung.

Bagaimanapun, Jeffridin berkata, menjadi kebimbangan bagi bekas pekerja di syarikat itu apabila ada pihak telah melakukan kerja pembalakan di tanah SFI.

“Pada masa ini berlaku pembalakan secara besar-besaran di tanah SFI. Jadi ini menjadi kebimbangan kami kelak jika ada pelabur yang mahu melabur di SFI dan mereka tidak jadi melabur kerana melihat aset di sini iaitu kayu balaknya sudah tidak ada.

“Akhirnya, peluang untuk kami mendapatkan pekerjaan itu semula tidak ada,” dakwanya.

Sehubungan itu, Jeffridin berharap pihak kerajaan negeri dapat mendengar rayuan penduduk di perumahan SFI berhubung bekalan elektrik dan air serta perintah mahkamah yang sepatutnya dipatuhi.

“Kami juga meminta supaya Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Madius Tangau dapat mengutamakan keperluan menyambung semula elektrik di SFI.

Selain itu, kami memohon Jabatan Perhutanan Sabah untuk turun padang menyiasat kegiatan pembalakan yang dipercayai berlaku di SFI ini.

“Begitu juga pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diharap dapat menyiasat dengan segera kerana laporan dan bukti berkaitan aktiviti pembalakan telahpun dibuat sebelum ini,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.