
Kota Kinabalu: Penduduk Tanjung Aru di sini digesa memainkan peranan lebih aktif dalam menjaga kebersihan kawasan masing-masing bagi mengekalkan reputasi lokasi itu sebagai antara destinasi pelancongan ikonik di Sabah.
Ketua Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Bahagian Putatan, Jason Lee (gambar) berkata, sikap membuang sampah merata-rata bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah mencemarkan imej Tanjung Aru yang terkenal dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa dengan panorama matahari terbenam serta pantainya yang indah.
Beliau berkata, usaha menjaga kebersihan perlu dipikul bersama oleh penduduk, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat, sambil menegaskan aktiviti gotong-royong perlu diadakan secara berkala bagi memastikan kawasan itu sentiasa bersih dan selesa.
“Tanjung Aru terkenal dengan pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan serta pantainya yang indah. Kita semua perlu memainkan peranan dalam memelihara keindahan semula jadi ini untuk generasi akan datang,” katanya selepas menyertai program gotong-royong di Tanjung Aru Baru, di sini, baru-baru ini.
Program itu menghimpunkan penduduk setempat, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kumpulan alam sekitar Trash Hero. DBKK turut melaksanakan kerja-kerja memotong rumput sepanjang program berkenaan.
Bagaimanapun, Jason berkata penduduk tidak seharusnya memikul tanggungjawab itu bersendirian dan menggesa DBKK menyediakan lebih banyak tong sampah serta meningkatkan kekerapan kutipan sisa di kawasan yang mempunyai kira-kira 300 hingga 350 isi rumah itu.
Beliau turut mencadangkan pemasangan perangkap sampah bagi menghalang sisa dihanyutkan ke laut dan mengelakkan sampah terapung terkumpul di sepanjang pesisir pantai.
“Terdapat keperluan memasang perangkap sampah yang dapat membantu melindungi alam sekitar marin. Langkah ini boleh menghalang sisa pepejal daripada dihanyutkan ke laut dan mengelakkan sampah terapung dibawa ke pesisir pantai, sekali gus memastikan pantai kekal bersih untuk penduduk serta pengunjung,” katanya.
Selepas program itu, Jason bersama ahli Upko turut menziarahi lima pesakit kronik di Sembulan Baru bersama Persatuan Penjagaan Paliatif (PCA).
Pasukan itu menyampaikan bekalan makanan kering kepada pesakit, manakala dua jururawat PCA menjalankan pemeriksaan kesihatan berkala termasuk tekanan darah serta pemeriksaan asas lain.
Jason berkata, dua daripada pesakit berkenaan memenuhi syarat untuk didaftarkan di bawah program penjagaan PCA yang menyediakan lawatan berkala ke rumah, pemantauan kesihatan serta bantuan peralatan perubatan dan perkhidmatan sokongan.
“Selepas didaftarkan, mereka akan menerima penjagaan dan sokongan berterusan bagi meningkatkan kualiti hidup. Pasukan kami juga akan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meneroka bantuan tambahan yang boleh disalurkan kepada pesakit serta keluarga mereka,” katanya.



