
Tuaran: Penduduk Kampung Nongkolud dekat sini berganding bahu menjayakan Program Fun Run Nongkolud sejauh 3.16 kilometer sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.
Program julung kali dianjurkan itu menghimpunkan 450 penduduk pelbagai peringkat usia, daripada kanak-kanak hingga warga emas sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nongkolud merangkap pengerusi penganjur, Zinuin Manjani berkata kejayaan program berkenaan hasil kerjasama penduduk yang menyumbang tenaga, masa dan sumber kewangan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.
“Program ini diadakan hasil kerjasama penduduk kampung khususnya golongan belia dan persiapannya mengambil masa kira-kira sebulan.
“Penduduk berganding bahu menjalankan tugas masing-masing, malah ada yang menggunakan dana sendiri bagi membantu menyediakan keperluan program.
“Alhamdulillah sambutan sangat memberangsangkan apabila 450 orang menyertainya terdiri daripada kanak-kanak, dewasa dan warga emas,” katanya.
Program bermula seawal 6 pagi dengan suasana Kampung Nongkolud bertukar meriah apabila peserta berkumpul sebelum mengikuti sesi pemanasan badan dan persediaan untuk larian.
Sebaik dilepaskan, peserta bergerak mengikut laluan ditetapkan dengan ada yang berlari manakala sebahagian lagi berjalan santai sambil berbual, bergambar dan meluangkan masa bersama keluarga serta jiran.
Walaupun jaraknya hanya 3.16 kilometer, program itu bukan sekadar menguji kemampuan fizikal malah menjadi ruang penduduk berkumpul, berinteraksi dan mengeratkan hubungan dalam suasana santai.
Selain larian program itu turut mempertandingkan enam kategori termasuk kategori Challenge serta diserikan dengan aktiviti senaman, zumba, cabutan bertuah dan penyampaian hadiah.
Menurut Zinuin sambutan menggalakkan itu mendorong pihak penganjur merancang menjadikan Fun Run Nongkolud sebagai acara tahunan bagi memberi lebih banyak ruang kepada penduduk menyertai aktiviti riadah dan kemasyarakatan.
“Kita mahu mengekalkan semangat perpaduan tinggi dalam kalangan penduduk tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Pada masa sama kita mahu memberi peluang kepada penduduk, khususnya golongan muda untuk bersama-sama menganjurkan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti,” ujarnya.
Salah seorang penduduk, Yusni Din, 48, berkata dia teruja menyertai program berkenaan yang disifatkan sebagai wadah terbaik untuk meraikan Hari Malaysia bersama masyarakat setempat.
Katanya program itu bukan sahaja memberi peluang untuk bersenam, malah membolehkan penduduk pelbagai peringkat umur berkumpul, berkenalan dan mengeratkan silaturahim.
Bagi Abdul Rahman Ambar, 61, penyertaannya lebih bermakna apabila dia turut mengajak isteri dan tiga anaknya menyertai program berkenaan untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sambil menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.
“Program seperti ini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menyemarakkan semangat Hari Malaysia,” katanya.






