SHAH ALAM - Kira-kira 5,000 penduduk Taman Alam Budiman bersama ribuan pengguna jalan raya dari Puncak Alam, Saujana Utama, Setia Alam dan kawasan sekitarnya terus dihantui kebimbangan apabila melalui Persiaran Mokhtar Dahari (PMD) yang didakwa merekodkan kemalangan berulang sejak hampir 10 tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin berkata, kemalangan termasuk yang meragut nyawa terus berlaku walaupun sebahagian laluan itu sudah dinaik taraf sebelum ini.
Menurutnya, kemalangan yang tidak membabitkan kematian didakwa berlaku hampir setiap hari, manakala nahas maut pula berlaku dari semasa ke semasa terutama membabitkan penunggang motosikal dan pemandu kereta.
**media[3550304]**
"Terbaharu semalam membabitkan motosikal dan sebelum ini ada kemalangan yang meragut dua nyawa sekali gus di kawasan puncak bukit," katanya ketika ditemui semasa mengadakan perhimpunan aman mendesak pihak berkuasa menangani isu itu berdekatan kawasan lapang lampu isyarat di Alam Budiman di sini pada Sabtu.
Terdahulu, kira-kira 100 penduduk Taman Alam Budiman dan kawasan perumahan sekitar mengadakan perhimpunan aman di tepi Persiaran Mokhtar Dahari bagi mendesak pihak berkuasa mempercepatkan penyelesaian isu keselamatan di laluan berkenaan.
Perhimpunan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut menarik perhatian apabila peserta mengusung replika jenazah sebagai simbolik kepada kemalangan maut yang didakwa berulang di jalan tersebut.
Sebahagian peserta turut mengangkat sepanduk bagi menyuarakan kebimbangan terhadap risiko kemalangan yang dihadapi pengguna jalan raya setiap hari.
Laungan tuntutan penduduk bergema apabila pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu membunyikan hon sebagai tanda solidariti terhadap desakan supaya isu keselamatan di laluan berkenaan ditangani segera.
Badrulhisham berkata, antara faktor utama yang sering dibangkitkan penduduk ialah keadaan jalan menuruni bukit yang didakwa berisiko tinggi terutama kepada lori dan motosikal.
Katanya, terdapat kes membabitkan kenderaan berat yang dipercayai mengalami masalah brek sebelum mengakibatkan kemalangan di laluan berkenaan.
"Walaupun ada kerja naik taraf dibuat, masalah utama di kawasan bukit itu masih menjadi kebimbangan pengguna jalan raya.
"Paling banyak terbabit dalam kemalangan adalah penunggang motosikal kerana laluan itu mempunyai selekoh dan keadaan jalan yang mencabar," katanya.
Beliau berkata, peningkatan mendadak jumlah kenderaan turut memburukkan keadaan apabila PMD kini menjadi laluan utama penduduk dari Puncak Alam, Saujana Utama, Setia Alam, Meru dan kawasan sekitarnya untuk ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, pembukaan rangkaian jalan baharu termasuk akses ke Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) menyebabkan jumlah trafik meningkat jauh lebih tinggi berbanding ketika jalan itu mula dibina.
"Jumlah aliran trafik kini mencecah puluhan ribu kenderaan sehari. Jika dulu ramai pengguna menggunakan laluan lain tetapi sekarang PMD menjadi jalan pintas utama untuk ke Kuala Lumpur.
"Apabila berlaku kemalangan, kesesakan boleh berlarutan selama beberapa jam dan memberi kesan kepada ribuan pengguna," katanya.
Mengulas usaha penyelesaian, Badrulhisham berkata, penduduk berharap projek pelebaran jalan serta pembinaan infrastruktur yang pernah diumumkan sebelum ini dapat disegerakan.
Katanya, antara tuntutan utama penduduk ialah pelebaran laluan berhampiran persimpangan lampu isyarat serta pembinaan beberapa jejambat bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna.
"Kami tidak mahu menunggu sehingga ada lagi korban nyawa, tetapi apa lebih penting sekarang ialah tindakan segera untuk mengurangkan risiko kemalangan sementara menunggu projek jangka panjang dilaksanakan," katanya.
Pengerusi Penduduk Greenhill Resident, Mohd Zailani Johari, 57, berkata, keadaan trafik di laluan itu menjadi sesak seawal jam 6.30 pagi dan berterusan sehingga lewat malam.
**media[3549689]**
Menurutnya, pengguna jalan raya terpaksa keluar lebih awal bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan terutama pada waktu puncak.
"Kalau keluar selepas Subuh memang jalan ini sudah mula sesak dan keadaan ini berterusan apabila waktu pulang dari tempat kerja, malah kesesakan boleh berlanjutan sehingga malam," katanya.
Justeru beliau berkata, penduduk menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor mempercepatkan penyaluran peruntukan bagi membolehkan kerja pelebaran jalan atau pembinaan jejambat dilaksanakan.
"Kami tidak mahu alasan kos dijadikan penghalang. Jika pembinaan jejambat memerlukan peruntukan besar, sekurang-kurangnya lebarkan jalan kepada tiga atau empat lorong di setiap arah bagi mengurangkan kesesakan," katanya.
Selain kesesakan, beliau berkata, aspek keselamatan turut menjadi kebimbangan apabila terdapat kemudahan jalan raya yang didakwa tidak diselenggara dengan sempurna.
Menurutnya, beberapa lampu jalan dan kemudahan lain di sepanjang laluan itu memerlukan perhatian segera bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama pada waktu malam.
Sementara itu, penduduk, Muhammad Aizat Zulkafri, 37, berkata, pengalaman berdepan kemalangan membabitkan lori sampah yang terbalik di hadapan kereta adiknya menjadi antara sebab dia menyertai desakan penduduk supaya aspek keselamatan di PMD diberi perhatian segera.
**media[3549690]**
Katanya, ketika kejadian, adiknya sempat memberhentikan kenderaan selepas mengambil jarak selamat sebelum sebuah lori sampah yang melalui laluan berkenaan hilang kawalan dan terbalik.
"Kalau berlaku sedikit kelewatan untuk membrek, mungkin sesuatu yang tak diingini boleh berlaku termasuk rempuhan pada lori sampah," katanya.
Menurutnya, insiden berkenaan bukan kes terpencil kerana beberapa kemalangan membabitkan lori sampah dan lori berat pernah berlaku di laluan sama sebelum ini.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pengguna jalan raya sentiasa berada dalam kebimbangan setiap kali melalui laluan berkenaan terutama apabila berada berhampiran kenderaan berat.

