SHAH ALAM - Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor merancang melaksanakan penambahbaikan di Persimpangan Alam Budiman di Persiaran Mokhtar Dahari (B49) tahun ini bagi mengurangkan kesesakan serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
JKR Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja penambahbaikan itu melibatkan pembinaan satu lorong tambahan sepanjang 300 meter dari arah Puncak Alam ke Shah Alam di persimpangan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, projek berkenaan turut merangkumi pemasangan lampu jalan baharu, naik taraf lampu isyarat serta kerja-kerja berkaitan aspek keselamatan jalan raya bagi melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.
"Skop kerja turut merangkumi penambahan lampu jalan, naik taraf lampu isyarat dan pelaksanaan aspek keselamatan lain bagi meningkatkan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, bagi penyelesaian jangka panjang, JKR Selangor telah mengemukakan cadangan menaik taraf keseluruhan Persiaran Mokhtar Dahari kepada empat lorong.
Cadangan itu turut melibatkan penambahbaikan persimpangan utama bermula dari Persimpangan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) sehingga Persimpangan Budiman Valley U15 di bawah Rancangan Selangor Kedua.
JKR Selangor berkata, pelaksanaan projek tersebut akan memberi kesan besar kepada kelancaran trafik serta tahap keselamatan pengguna di laluan yang menghubungkan Puncak Alam dan Shah Alam itu.
Menurut JKR Selangor, laluan yang menghubungkan Puncak Alam dan Shah Alam itu berdepan peningkatan trafik selari dengan pembangunan pesat di sepanjang jajarannya sehingga memberi kesan kepada kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, kawasan Persimpangan Alam Budiman dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kerana berada di laluan berbukit dengan jalan menurun ke arah lampu isyarat.
"Kejadian kemalangan sering berlaku disebabkan keadaan profil geometri jalan di kawasan berkenaan selain faktor pemanduan melebihi had laju dan kerosakan kenderaan.
"JKR Selangor mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan penduduk berhubung aspek keselamatan jalan raya di Persiaran Mokhtar Dahari khususnya berhampiran Persimpangan Alam Budiman," menurut kenyataan itu.
JKR Selangor berkata, pelbagai langkah mitigasi telah dilaksanakan melalui JKR Daerah Petaling dari 2023 hingga 2025 dengan peruntukan keseluruhan RM4 juta bagi meningkatkan tahap keselamatan di sepanjang laluan berkenaan.
"Antara kerja yang dilaksanakan termasuk pembinaan lorong tambahan sementara, pemasangan kemudahan keselamatan jalan, pemasangan lampu jalan baharu, penambahbaikan perabot jalan serta pemasangan papan tanda keselamatan di beberapa seksyen Persiaran Mokhtar Dahari," tambah kenyataan itu.
Terdahulu, kira-kira 100 penduduk Taman Alam Budiman dan kawasan perumahan sekitar mengadakan perhimpunan aman di tepi Persiaran Mokhtar Dahari bagi mendesak pihak berkuasa mempercepatkan penyelesaian isu keselamatan di laluan berkenaan.
Perhimpunan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut menarik perhatian apabila peserta mengusung replika jenazah yang dikafankan sebagai simbolik kepada kemalangan maut yang didakwa berulang di jalan tersebut.
Sebahagian peserta turut mengangkat sepanduk bagi menyuarakan kebimbangan terhadap risiko kemalangan yang dihadapi pengguna jalan raya setiap hari.
Laungan tuntutan penduduk bergema apabila pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu membunyikan hon sebagai tanda solidariti terhadap desakan supaya isu keselamatan di laluan berkenaan ditangani segera.

