Penemuan bom lama dekat landasan jejas operasi Lapangan Terbang Labuan

26 Jun 2026 • 7:48 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penemuan bom lama dekat landasan jejas operasi Lapangan Terbang Labuan

LABUAN, 26 JUN: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Labuan terganggu susulan penutupan sementara landasan selepas penemuan beberapa bom lama pada jarak kira-kira 150 meter dari landasan berkenaan.

Menurut Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang dimuat naik menerusi Facebook Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), penutupan sementara landasan itu dimaklumkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 5 petang tadi sehingga dimaklumkan kelak.

TUDM bersama pihak pengurusan lapangan terbang kini menjalankan pemeriksaan bersama di kawasan landasan dan operasi hanya akan disambung semula selepas pemeriksaan selesai serta kelulusan keselamatan dikeluarkan.

Penutupan itu menyebabkan beberapa penerbangan dari Labuan ke Miri dan Kota Kinabalu dibatalkan, manakala beberapa lagi penerbangan ketibaan dan pelepasan terpaksa dilencongkan, ditangguhkan atau mengalami perubahan operasi.

Penumpang yang dijadualkan menggunakan perkhidmatan penerbangan ke dan dari Labuan dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini mengenai status penerbangan dan urusan perjalanan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang.

Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Labuan mendapati beberapa penerbangan bermula pukul 4.05 petang, 5.15 petang, 6.05 petang, 6.15 petang dan 7.25 malam ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu serta Miri terjejas susulan insiden itu.

Sumber memaklumkan bahan letupan yang dipercayai bom peninggalan era Perang Dunia Kedua itu ditemukan di tapak projek pembaikan cerun di Jalan Persisiran Pantai Kerupang.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved