Penemuan kecederaan luar biasa pada badan, JSJ Bukit Aman diarah segera siasat kematian Noorizwan

25 Oct 2026 • 4:34 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Penemuan kecederaan luar biasa pada badan, JSJ Bukit Aman diarah segera siasat kematian Noorizwan

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman diarahkan menjalankan siasatan segera berhubung kematian Noorizwan Zulkefly, yang meninggal dunia dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, susulan penemuan beberapa kecederaan luar biasa pada tubuhnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata penemuan kecederaan itu memerlukan penelitian lanjut.

“Saya telah meminta JSJ, khususnya pengarahnya Datuk M. Kumar, untuk menyiasat kes ini secepat mungkin dan memaklumkan hasil siasatan kepada orang ramai.

“Pada masa sama, sebaik sahaja kita menerima laporan bedah siasat daripada pihak hospital yang menyatakan punca kematian, kita akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Bernama.

Noorizwan Zulkefly, 42, ditahan polis Cheras pada 19 September lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Allahyarham meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober lepas.

Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan polis menjalankan siasatan menyeluruh, telus dan tanpa kompromi berhubung kematian Noorizwan.

Perdana Menteri memberitahu beliau telah berhubung dengan Mohd Khalid bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.

Sementara Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Aida Abdul Hamid dalam kenyataan berkata bedah siasat yang dijalankan ke atas Noorizwan mendapati tiada sebarang kecederaan pada bahagian organ dalaman namun terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran.

Menurutnya, punca kematian telah dinyatakan sebagai pending laboratory analysis (menunggu keputusan analisis makmal) dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), yang bertanggungjawab menyiasat kes kematian dalam tahanan yang diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut, telah mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu.

Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan makmal bagi menentukan punca sebenar kematian Noorizwan, tambah beliau. - 25 Oktober, 2026

The post Penemuan kecederaan luar biasa pada badan, JSJ Bukit Aman diarah segera siasat kematian Noorizwan appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved