KPN arah JSJ Bukit Aman segera siasat kematian Noorizwan dalam tahanan

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 8:54 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: KPN arah JSJ Bukit Aman segera siasat kematian Noorizwan dalam tahanan

Ketua Polis Negara mengarahkan JSJ Bukit Aman menyiasat segera kes kematian Noorizwan Zulkefly yang meninggal dunia selepas ditahan IPD Cheras.

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman supaya segera menyiasat kes kematian Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, baru-baru ini.

Beliau berkata siasatan itu perlu dilaksanakan dengan teliti susulan penemuan beberapa kecederaan luar biasa pada tubuh Allahyarham.

“Saya telah meminta pihak JSJ terutama Pengarahnya, Datuk M. Kumar untuk menyiasat kes ini secepat mungkin dan membuat kenyataan awam tentang segala (dapatan) siasatan tersebut.

“Apabila kita menerima laporan bedah siasat daripada pihak hospital yang menyatakan mengenai punca kematian itu, kita akan buat satu kenyataan rasmi untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa Spectrum (SIUC) ke-26 di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang menyiasat mengenai kes kematian dalam tahanan juga sudah mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu.

“Bagaimanapun, kita masih belum mendapat keputusan mengenai punca kematian kerana masih menunggu laporan makmal,” katanya.

Semalam, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Aida Abdul Hamid berkata hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan pada organ dalaman sebaliknya hanya menemukan kecederaan luaran pada tubuh Noorizwan.

Aida berkata punca kematian dinyatakan sebagai pending laboratory analysis (menunggu keputusan analisis makmal).

Noorizwan, 42, ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 19 Sept lepas untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, lelaki itu dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Cheras pada 30 Sept lepas untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi keesokan harinya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved