Penerangan isu pembangunan semula Kg Sungai Baru di Dewan Rakyat, Khamis ini: Dr Zaliha

LocalPolitics
6 Oct 2025 • 7:26 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Penerangan khusus mengenai pembangunan semula Kampung Sungai Baru akan diadakan di Parlimen, Khamis ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Menurutnya, ia termasuk langkah memastikan penduduk menerima hak mereka dan entiti Melayu kekal di kawasan berkenaan.

Jelasnya, kerajaan sedang meneliti model pembangunan ekonomi lebih kreatif dan lestari bagi mengekalkan komuniti Melayu di bandar, khususnya dalam pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan Kampung Baru.

“Insya-Allah Khamis ini saya diberikan masa untuk penerangan menteri khusus untuk Kampung Sungai Baru. Ketika itu nanti banyak lagi perkara yang kita boleh jelaskan dengan lebih terperinci,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 11 September lalu, melaporkan suasana tegang tercetus di Kampung Sungai Baru selepas beberapa penduduk yang berdepan tindakan pengusiran enggan berpindah dari kediaman masing-masing.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Dr Zalina berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang ingin tahu status terkini Kampung Sungai Baru yang dikategorikan sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS).

Menurut Dr Zaliha, perbincangan sedang dijalankan dengan pemaju dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk UDA Holdings Berhad bagi mencari bentuk kerjasama terbaik untuk projek itu.

“Yang penting bagi saya ialah memastikan penduduk yang telah bersetuju diberikan rumah yang mereka tunggu lebih sembilan tahun,” katanya.

Dr Zaliha turut memberitahu, pembangunan semula kawasan berkenaan berdepan pelbagai kekangan termasuk isu pemilikan bertindih, nilai pasaran terhad dan keperluan mengekalkan warisan budaya.

“Sebahagian tanah rizab Melayu merupakan tanah pusaka yang diwarisi sejak turun-temurun. Ada lot tanah dimiliki oleh puluhan hingga ratusan individu, malah ada yang mempunyai pemilikan bertindih hingga 256 orang bagi satu lot seluas 8,700 kaki persegi,” katanya. - 6 Oktober, 2025

The post Penerangan isu pembangunan semula Kg Sungai Baru di Dewan Rakyat, Khamis ini: Dr Zaliha appeared first on Scoop.