Penerbangan terus Kota Kinabalu-Bangkok dijangka bermula bulan depan

25 Jun 2022 • 12:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia dijadual memulakan perkhidmatan penerbangan terus antara Kota Kinabalu dan Bangkok, Thailand pada bulan depan.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata perkara itu telah dibincangkan oleh Menterinya Datuk Jafry Ariffin (gambar) dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam pertemuan di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Beliau turut bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A Tan Sri Tony Fernandes yang menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sabah di atas kerjasama selama puluhan tahun.

Jafry berkata pihaknya mengalu-alukan usaha AirAsia dalam memperluaskan jaringan domestik mahu pun antarabangsa dengan pembukaan laluan penerbangan baharu terus ke negeri itu.

“Saya optimis dengan penambahan laluan baharu itu yang pastinya mampu menarik lebih ramai pelancong sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan Sabah,” katanya dalam kenyataan itu.

Sehingga kini, penerbangan terus AirAsia dari Kota Kinabalu adalah ke Singapura dan Manila manakala Kota Kinabalu ke Korea Selatan pula menerusi syarikat penerbangan Jin Air.

Malah, kementerian itu menerusi Lembaga Pelancongan Sabah juga bekerjasama dengan AirAsia melalui aplikasi airasia Super App dalam mempromosi destinasi pelancongan menarik di Sabah.

“Pelancong boleh terus menempah pakej penerbangan dan hotel, pelbagai makanan dan pengalaman lain sebelum memulakan percutian,” katanya.

Jafry juga yakin platform agensi pelancongan dalam talian yang lebih pantas dan kukuh akan membolehkan industri pelancongan negeri berkembang lebih pesat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.