Penerima Nintendo Switch 2 Awal Perlu Menunggu Sehingga 5 Jun Sebelum Boleh Menggunakannya

TechnologyDigital
28 May 2025 • 10:23 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Konsol permainan Nintendo Switch 2 akan dilancarkan tidak lama lagi secara rasmi pada 5 Jun 2025 kelak, tetapi ia telah diperlihatkan bahawa terdapat mereka yang telahpun menerima konsol tersebut secara lebih awal.

Konsol tersebut, yang dilancarkan di pasaran Jepun dan Amerika Syarikat terlebih dahulu, nampaknya telah memperlihatkan beberapa pembeli yang telah menerima konsol mereka lebih awal daripada ramai pembeli lain.

Menurut mereka yang telahpun menerima tempahan konsol ini, mereka mengatakan bahawa buat masa ini, konsol tersebut telah “dikunci”, dan memerlukan kemaskini perisian yang akan dikeluarkan pada hari pertama pelancaran konsol tersebut sebelum ia boleh dimainkan.

Ini nampaknya cara yang digunakan oleh Nintendo untuk memastikan bahawa mereka yang menerima konsol ini lebih awal untuk tidak meniriskan sebarang butiran yang mereka tidak mahu perlihatkan sehingga hari pelancaran konsol ini pada minggu hadapan.

Seperti yang dikatakan, Nintendo Switch 2 akan dilancarkan pada 5 Jun 2025 untuk pasaran Amerika Syarikat dan Jepun, dan sekitar bulan Julai ke September untuk pasaran Malaysia.