Kemampuan Cermin Mata Pintar Android XR Diperlihatkan Secara Rasmi

TechnologyDigital
21 May 2025 • 8:55 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Cermin mata pintar Google akan dilancarkan dalam masa terdekat dengan perkakasan akan dihasilkan pula oleh Samsung. Di Google I/O, cermin mata ini serta kemampuannya telah diperlihatkan secara rasmi selepas julung kali diperlihatkan dalam acara TED Talk beberapa bulan lalu.

image is not available

image is not available

Google mengesahkan cermin mata pintar yang menggunakan sistem operasi Android XR ini akan hadir dalam dua versi. Satu dengan skrin terbina pada kaca cermin mata kanan dan satu lagi tanpa skrin terbina. Kedua-duanya akan dilengkapi kamera, dan speaker terbina. Kawalan dilakukan menggunakan arahan suara menerusi interaksi Gemini Live. Selain cermin mata pintar, Android XR akan turut digunakan pada set kepala video boleh-tembus (XR) dan set kapal optikal boleh-tembus.

image is not available

Dalam demo di atas pentas, pemakai boleh meminta cermin mata untuk menghantar mesej yang diterima menggunakan Google Messages. Kemudian pemakai boleh meminta maklumat mengenai gambar yang sedang dipandang. Versi dengan skrin terbina boleh memaparkan teks perbualan dan juga arahan navigasi menggunakan Google Maps.

image is not available

Ciri mengalih bahasa secara masa nyata dengan sari kata dipaparkan terus pada skrin cermin mata pintar juga kelak boleh dilakukan. Di atas pentas ciri memaparkan sari kata Bahasa Inggeris ketika dua pengguna menggunakan Bahasa Parsi dan Hindi turut diperlihatkan.

image is not available

Turut diumumkan pagi ini ialah Google turut akan bekerjasama dengan Gentle Monster, Warby Parker dan Kering Eyewear untuk melancarkan cermin mata pintar Android XR selain dengan Samsung. Pembangunan aplikasi untuk cermin mata pintar ini akan dibuka tahun ini tetapi berdasarkan ura-ura besar kemungkinan produk pertama akan dilancarkan 2026 selepas set kepala XR Project Moohan dilancarkan penghujung tahun ini.