AKSI separuh akhir Piala Dunia antara Perancis dan Sepanyol terganggu seketika pada awal permainan selepas pengadil Ivan Barton terlupa membawa peralatan penting sebelum dibantu pegawai keempat.
Insiden itu berlaku pada minit kelapan selepas Sepanyol diberikan sepakan percuma susulan kekasaran Adrien Rabiot terhadap Dani Olmo.
Pemain tengah Perancis itu dilayangkan kad kuning selepas kakinya terpijak kaki Olmo ketika cuba melakukan cabaran.
Namun, sebelum sepakan percuma dilakukan, Barton menyedari dia tidak membawa semburan putih khas yang digunakan untuk menandakan kedudukan benteng pertahanan.
Pegawai keempat, Glenn Nyberg kemudian terpaksa masuk ke padang untuk menyerahkan semburan berkenaan kepada pengadil dari El Salvador itu.
Barton dilihat tersenyum ketika menuju ke garisan tepi sebelum kembali meneruskan perlawanan yang disaksikan pemain kedua-dua pasukan dalam keadaan sedikit terpinga-pinga.
“Pengadil terlupa membawa semburannya. Tugasnya cuma dua perkara... Bawa wisel dan pastikan semburan ada bersama,” kata bekas penyerang England, Chris Sutton menerusi BBC Radio 5 Live.
Barton, 35, bukan nama asing dalam pentas antarabangsa apabila sering mengendalikan kejohanan utama Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF).
Pengadil kelahiran Santa Ana, El Salvador itu membuat penampilan sulung di Piala Dunia ketika edisi 2022 di Qatar.
Pada kejohanan kali ini, Barton turut mencipta sejarah apabila menjadi pengadil pertama melayangkan kad merah kepada pemain kerana menutup mulut ketika berdepan lawan.
Beliau mengarahkan pemain Paraguay, Miguel Almiron meninggalkan padang ketika aksi menentang Turkiye, selain mengendalikan perlawanan pusingan 16 antara Colombia dan Switzerland.
Barton sebelum ini turut menjadi perhatian apabila menghentikan aksi Liga Negara-Negara CONCACAF 2023 antara Amerika Syarikat dan Mexico pada masa kecederaan selepas berlaku laungan berbaur homofobia daripada penyokong.


