Pengalaman Peribadi Tak Boleh Atasi Kepentingan Rakyat Dan Negara - PM

Politics
9 Jun 2023 • 1:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar (kiri) ketika hadir pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 di WTCKL, hari ini. - Gambar oleh Alif Omar

KUALA LUMPUR - Apa sahaja insiden atau pengalaman bersifat peribadi yang dilalui oleh seseorang pemimpin itu tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang penting adalah menyempurnakan tugas kepada negara.

“Pengalaman peribadi itu penting tetapi ia tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan kepentingan negara.

“Jadi saya hadir semula kerana saya gunakan platform perpaduan ini untuk memperkukuh kerajaan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023).

image is not available
Sebahagian peserta yang hadir pada perasmian PAU hari ini. - Gambar oleh Alif Omar

Jelas Perdana Menteri, beliau merasa senang hati dan selesa berada di majlis berkenaan.

“Saya tentunya rasa selesa dan senang kerana dah biasa dengan suasana itu termasuk menghafal lagu itu,” katanya merujuk kepada lagu rasmi UMNO iaitu Bersatu, Bersetia Berkhidmat.

Anwar secara berseloroh memberitahu, beliau juga masih mengingati setiap bait lirik lagu berkenaan.

“Masih (ingat lagu),” katanya. 

PAU 2023 berlangsung sehingga esok, dan dimulakan dengan Taklimat Khas Presiden dua hari lalu.

Penganjuran acara itu tahun ini agak berbeza apabila ia turut dihadiri barisan pemimpin yang satu ketika dahulu merupakan musuh UMNO.

Antara yang dilihat hadir ialah iSetiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick. - Getaran, 9 Jun 2023