Pengambilalihan Etiqa bernilai RM4.83 bilion dianggap mahal, dividen Maybank dijangka terjejas - Penganalisis

Business & Finance
4 Aug 2026 • 4:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengambilalihan Etiqa bernilai RM4.83 bilion dianggap mahal, dividen Maybank dijangka terjejas - Penganalisis Image from: Pengambilalihan Etiqa bernilai RM4.83 bilion dianggap mahal, dividen Maybank dijangka terjejas - Penganalisis liza04/08/2026 - 16:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Pengambilalihan baki pegangan dalam perniagaan insurans Etiqa oleh Maybank pada harga RM4.83 bilion dilihat sebagai langkah strategik yang mampu meningkatkan pendapatan Kumpulan, namun, nilai urus niaga itu dianggap mahal oleh penganalisis.

 

AmInvestment Bank dan Kenanga Investment Bank berpandangan harga yang dibayar serta kesannya terhadap kedudukan modal bank boleh mengehadkan potensi pembayaran dividen Maybank dalam tempoh terdekat. 

 

Justeru, kedua-dua firma penyelidikan itu mengambil pendirian lebih berhati-hati atau neutral terhadap urus niaga berkenaan.

 

Pada 3 Ogos 2026, Maybank mengumumkan cadangan mengambil alih baki 30.95% pegangan dalam Maybank Ageas Holdings Bhd daripada syarikat insurans Belgium, Ageas SA, pada harga RM4.83 bilion yang akan menjadikan Etiqa dimiliki sepenuhnya oleh kumpulan perbankan itu.

 

Maybank Ageas Holdings merupakan syarikat induk kepada Etiqa yang menawarkan produk insurans hayat, insurans am, takaful keluarga dan takaful am di Malaysia serta Singapura menerusi pelbagai saluran pengedaran.

 

Harga pembelian dianggap premium

AmInvest berkata, kebimbangan utama terhadap urus niaga itu bukan terletak pada rasional strategiknya, sebaliknya pada penilaian yang dianggap tinggi berbanding transaksi lain dalam industri.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Maybank membayar kira-kira dua kali nilai buku bagi pegangan tersebut, iaitu lebih tinggi daripada kebanyakan syarikat insurans tersenarai serta melebihi purata urus niaga dalam sektor insurans sepanjang lima tahun lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Maybank miliki sepenuhnya Etiqa selepas beli baki 30.95% pegangan Ageas pada harga RM4.83 bilion

 

“Kami mengiktiraf kelebihan memiliki 100% perniagaan Etiqa, namun kami berpendapat banyak inisiatif yang dirancang sebenarnya masih boleh dilaksanakan di bawah struktur pemilikan sedia ada,” kata AmInvest dalam nota kajiannya.

 

AmInvest berpandangan harga premium yang dibayar bagi mendapatkan pemilikan penuh Etiqa sukar untuk disokong memandangkan banyak manfaat urus niaga itu masih boleh dicapai tanpa mengambil alih keseluruhan pegangan.

 

Tekanan terhadap modal dan dividen

Sementara itu, Kenanga IB menyifatkan urus niaga tersebut sebagai neutral kerana manfaat peningkatan keuntungan dijangka diimbangi oleh kesan terhadap kedudukan modal Maybank.

 

Menurut Kenanga, pengambilalihan itu dijangka mengurangkan nisbah Common Equity Tier-1 (CET1), iaitu ukuran utama kekuatan modal sesebuah bank, sebanyak kira-kira dua mata peratusan.

 

“Pengurangan nisbah modal itu bermakna Maybank mempunyai ruang yang lebih terhad untuk menguruskan modal yang berisiko menjejaskan fleksibiliti kewangan kumpulan dalam jangka pendek.

 

“Kami menjangkakan Maybank perlu menggunakan pelan pelaburan semula dividen (Dividend Reinvestment Plan atau DRP) pada tahun 2026 bagi membantu mengekalkan kedudukan modal selepas transaksi berkenaan selesai,” katanya.

 

Menurut Kenanga, langkah itu memberi isyarat potensi kejutan positif terhadap pembayaran dividen dalam tempoh terdekat adalah agak terhad, sekali gus sedikit mengurangkan daya tarikan saham Maybank kepada pelabur yang memberi tumpuan kepada pulangan dividen.

 

Manfaat jangka panjang masih diiktiraf

Walaupun berhati-hati terhadap penilaian dan implikasi modal, kedua-dua firma penyelidikan mengakui pengambilalihan tersebut akan memberi manfaat strategik kepada Maybank dalam jangka panjang.

 

Dengan memiliki keseluruhan pegangan dalam Etiqa, semua keuntungan daripada perniagaan insurans itu akan disatukan sepenuhnya ke dalam kumpulan Maybank dan meningkatkan pendapatan serta memperkukuh kawalan ke atas strategi pembangunan perniagaan insuransnya pada masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved