Pengambilan baharu diramal mula perlahan, majikan lebih berwaspada tambah pekerja – TA Securities

LocalBusiness & Finance
13 May 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengambilan baharu diramal mula perlahan, majikan lebih berwaspada tambah pekerja – TA Securities Image from: Pengambilan baharu diramal mula perlahan, majikan lebih berwaspada tambah pekerja – TA Securities amree13/05/2026 - 10:20 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Mei – Momentum pengambilan pekerja di Malaysia dilihat mula perlahan berturutan untuk bulan kedua, namun pasaran buruh negara masih stabil, menurut analisis TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kadar pengangguran dilihat kukuh pada paras rendah 2.9% setakat Mac 2026, dan jumlah penganggur susut 3.9% tahun ke tahun (YoY) kepada seramai 509,000 orang.


Trend itu menunjukkan majikan kini lebih berhati-hati dalam menambah pekerja selepas pertumbuhan buruh kukuh sepanjang tahun lalu, di samping mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global semasa.


"Bagaimanapun, keadaan pasaran pekerjaan negara secara keseluruhannya masih berdaya tahan disokong permintaan tenaga kerja yang stabil untuk sektor utama ekonomi," kata TA Securities dalam nota.


Keadaan tersebut ujar firma penyelidikan berkenaan, mengekalkan kadar pengangguran sihat iaitu kurang 3%, sekali gus mencerminkan keadaan pasaran buruh yang secara umumnya sebagai stabil.


Menurutnya, jumlah tenaga buruh naik kepada 17.313 juta orang pada Mac 2026, manakala jumlah guna tenaga bertambah kepada 16.8 juta orang hasil pertumbuhan pekerjaan dalam kebanyakan sektor utama.


Tambah TA Securities, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar terutama subsektor penginapan, makanan dan minuman, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan.

 

pekerja_DagangNews
Gambar hiasan



“Prestasi pada bulan tersebut mencerminkan permintaan domestik yang terus kukuh, dengan aktiviti pelancongan dilihat semakin pulih serta trend pendigitalan ekonomi semasa di Malaysia,” katanya.


Sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian ujarnya, turut mencatat peningkatan pekerjaan disokong aktiviti pelaburan berterusan, projek infrastruktur dan permintaan komoditi yang masih stabil.


Sektor perlombongan dan kuari namun merekodkan sedikit penurunan susulan sentimen pengambilan pekerja yang lebih berhati-hati akibat ketegangan geopolitik global dan turun naik harga minyak.


Dalam masa sama jelas TA Securities lagi, kategori pekerja yang bergaji tetap bulanan kekal mendominasi pasaran buruh semasa dengan mewakili 75% daripada jumlah pekerjaan keseluruhan.


"Kami menjangka kadar pengangguran susut kepada 2.8% menjelang akhir 2026 dipacu permintaan domestik, pemulihan pelancongan dan perkembangan pelaburan industri bernilai tinggi," tambahnya.


Faktor-faktor berkenaan kata firma penyelidikan tersebut, dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi negara secara positif sepanjang tahun ini. - DagangNews.com

Terkini featured standard