
PETALING JAYA – Peguam Negara hari ini memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memohon ampun dan menzahirkan pendiriannya untuk mematuhi titah Seri Paduka Baginda berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada petang ini.
“Peguam Negara juga akan menjelaskan persoalan perundangan yang timbul daripada Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi susulan pembayaran denda RM50 juta, dan perlu diputuskan oleh mahkamah kerana ia memberi kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau meminta Peguam Negara diminta segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon ampun dan memberikan penjelasan berhubung permasalahan berkait isu pengampunan bersyarat melibatkan Najib.
Kosmo! melaporkan, sebarang hujah yang mempertikai perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda bertitah, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, justeru tidak timbul sebarang kekeliruan tafsiran atau ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang diperkenankan.
Baginda turut menegaskan bahawa perintah berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap Najib. – KOSMO! ONLINE
The post Pengampunan Najib: Peguam Negara mohon perkenan menghadap Agong appeared first on Kosmo Online.






