KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menyelar sikap hipokrit Pakatan Harapan (PH) kerana berterusan mempersoalkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong apabila ia tidak memihak kepada gabungan itu.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, UMNO sedih ketika mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun tidak sesekali mengisytiharkan institusi kehakiman itu sebagai musuh.
Menurutnya, kecewa dengan keputusan berkenaan, parti memilih berjuang melalui saluran undang-undang.
“Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pengampunan penuh, UMNO tidak mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak menyerang titah Baginda.
“Kita menerimanya kerana kuasa pengampunan raja adalah kuasa mutlak yang termaktub dalam Perlembagaan, dan itu yang kita junjung tinggi!
“Apabila pengampunan memihak kepada mereka, namanya keadilan. Apabila melibatkan pemimpin kita, kuasa raja pula mahu dipersoalkan! Ini bukan prinsip, ini hipokrit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat pada Jumaat.
Beliau yang mengesahkan menjadi antara individu dipanggil untuk menghadiri mesyuarat terbabit bagaimanapun enggan memperincikan maklumat lanjut berhubung agenda disenaraikan termasuk permohonan Najib.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, prinsip UMNO jelas, keputusan mahkamah dihormati dan kuasa raja dijunjung.
Semalam (Rabu) Setiausaha Agung UMNO, (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) turut mempersoalkan mengapa wujud dua piawaian dalam isu pengampunan.
“Apabila melibatkan pemimpin mereka, pengampunan dianggap sebagai keadilan. Tetapi apabila melibatkan pemimpin UMNO, kuasa raja pula mahu dipersoalkan,” katanya.




