Penganalisis jangkakan OPR turun separuh pertama 2024 susulan kejayaan mengawal inflasi
herman
23/01/2024 - 18:46
KUALA LUMPUR 23 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan telah bertindak dengan baik dalam menurunkan inflasi ke paras yang disasarkan biar pun perkara itu merupakan cabaran terbesar pada tahun 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad berkata, ini bermakna terdapat kemungkinan kadar dasar semalaman (OPR) diturunkan pada separuh pertama 2024.
"Inflasi merupakan cabaran besar pada 2023 tetapi kekangan fiskal kerajaan dan BNM telah melakukan dengan baik untuk menurunkan inflasi kepada paras yang dimahukan.
"Ini bermakna kita mungkin dapat melihat penurunan OPR pada separuh tahun 2024. Ini akan merangsang lagi ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Irhamy Valuers International adalah sebahagian daripada Juwai IQI, penyedia penasihat pasaran hartanah terkemuka serantau.
Sementara itu, Irhamy berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dijangka meningkat kepada 4.3 peratus tahun ini berbanding 4.0 peratus pada 2023.

Katanya, jangkaan itu adalah sejajar dengan unjuran pertumbuhan antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus yang dibuat oleh Kementerian Kewangan.
"Jika jangkaan ini tepat dan pertumbuhan KDNK mencecah 4.3 peratus pada 2024, itu adalah lebih rendah daripada unjuran 4.9 peratus yang dibuat lima bulan lalu berikutan perdagangan antarabangsa yang lebih lemah," jelasnya.
Menurut beliau, pelancongan akan menjadi antara sektor yang mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2024.
Katanya, pelancongan dijangka terus mencatatkan pemulihan termasuk dari segi ketibaan pelancong luar negara.
Ujar Irhamy,pertumbuhan sektor ini penting kerana memberi kesan langsung kepada rakyat dari segi penyediaan peluang pekerjaan.
"Apa yang menarik mengenai pelancongan ialah sektor ini memerlukan jumlah pekerja yang ramai," katanya sambil menambah dasar pengecualian visa 30 hari kepada pelancong China dan India akan mempercepatkan lagi pemulihan.
Dalam kajiannya itu, Irhamy turut menggariskan permintaan eksport sebagai salah satu pendorong dengan permintaan kukuh dari Amerika Utara dan Eropah.
"Ekonomi Malaysia bergantung kepada permintaan domestik serta eksport dan pada 2024, Malaysia mampu mencatatkan eksport yang lebih baik berbanding 2023," katanya.
Jika negara kuasa utama ekonomi dapat mengatasi inflasi dan menurunkan kadar faedah lebih awal dari dijangkakan, permintaan eksport mampu meningkat lebih pantas.
Sementara itu, Irhamy berkata, sektor pelancongan yang kukuh pada 2024 mungkin memberi rangsangan baharu kepada pelaburan dalam sektor perhotelan, peruncitan dan lain-lain yang berkaitan.
"Sementara itu, Pulau Silikon di Pulau Pinang dan projek infrastruktur lain akan mewujudkan pekerjaan baharu dan aktiviti ekonomi.
"Dijangkakan lebih ramai pembeli untuk hartanah komersial dan perindustrian seperti pejabat dan taman teknologi.
“Kesimpulannya, pertumbuhan KDNK yang stabil dan dasar fiskal serta monetari sepatutnya mempengaruhi secara positif kedua-dua pasaran hartanah kediaman dan komersial," katanya. - DagangNews.com

