amree07/09/2026 - 10:35 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept — Kemasukan Kerjaya Prospek Group Berhad ke dalam projek pusat data (DC) berskala besar dijangka menjadi pemangkin baharu pertumbuhan, dengan kontrak RM858 juta di Iskandar Puteri, Johor berpotensi mengukuhkan hasil untuk tiga tahun akan datang, menurut penganalisis.
Mereka berpandangan, kontrak mekanikal, elektrik dan paip (MEP) dilaksanakan secara harga pukal tetap dengan tempoh hanya lapan bulan bermula suku ketiga 2026, menjadikan kumpulan itu antara pemain pembinaan tempatan semakin mendapat pendedahan kepada sektor DC yang berkembang pesat.
Antaranya TA Securities yang menyifatkan kemenangan tersebut membawa jumlah kontrak baharu bagi FY26 setakat ini kepada RM3.2 bilion, mengatasi sasaran asal RM2.8 bilion, dan dengan sasaran baharu dinaikkan kepada RM3.5 bilion, ia memerlukan RM300 juta lagi mencapai angka tersebut.
"Kami menganggarkan kontrak ini mampu menjana hingga RM42.9 juta keuntungan bersih Kerjaya Prospek sepanjang tempoh pembinaan, berdasarkan margin bersih konservatif 5%, dan tempoh pelaksanaan yang singkat dijangka memberi sumbangan bermakna kepada pendapatan FY26 dan FY27," katanya.
Ia menjangkakan jumlah buku tempahan belum dibilkan naik kepada kira-kira RM5.9 bilion, bersamaan 3.0 kali hasil segmen pembinaan FY25 dengan pelbagai tawaran tender luar melebihi RM2 bilion serta aliran projek dalaman stabil, memberikan keterlihatan hasil bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Lebih penting, TA Securities melihat projek DC pertama ini sebagai peluang untuk Kerjaya Prospek membina rekod prestasi dalam kerja MEP, sekali gus meningkatkan kredibiliti ketika membida projek pada masa depan dan tidak menolak kemenangan tambahan dalam sektor berkenaan pada FY26.

Firma itu turut mengenal pasti potensi kemenangan konsortium bersama Sinohydro Corp dan PowerChina Group bagi pakej infrastruktur LRT di Pulau Pinang dianggarkan bernilai RM4 bilion sebagai pemangkin penilaian semula saham dengan keputusan tender dijangka diumumkan pada November 2026.
"Berdasarkan kadar pegangan efektif 50% dan unjuran margin bersih 5%, kontrak itu dianggarkan mampu meningkatkan pendapatan Kerjaya Prospek bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 1.9%, 3.5% dan 5.1%," jelasnya.
Susulan momentum kontrak yang lebih kukuh, TA Securities menaikkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 1.4%, 7.5% dan 5.2%, selain menaikkan harga sasaran (TP) Kerjaya Prospek kepada RM3.90 sesaham dan mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham tersebut.
Sementara itu, Phillip Capital menyifatkan kontrak terbaharu itu sebagai tender DC utama pertama selepas kumpulan memperoleh projek RM53 juta pada Julai 2026 bagi pembinaan sebuah stesen pendaratan pengguna berkapasiti 275kV di Lembah Klang.
Firma penyelidikan itu melihat kemenangan terbaharu ini sebagai peluang penting untuk Kerjaya Prospek membina rekod prestasi dalam projek DC berskala besar dan meningkatkan peluang memperoleh projek seumpamanya pada masa depan.
"Kami menganggarkan kontrak ini menyumbang kira-kira RM51 juta keuntungan selepas cukai (PAT) bagi FY26 hingga FY27 berdasarkan margin bersih 6%, namun lebih rendah daripada 12% bagi portfolio teras berikutan kerja projek yang disumber luar sepenuhnya," katanya.
Bagaimanapun ujar Phillip Capital, saiz kontrak berkenaan jauh lebih besar berbanding purata nilai kontrak sebelum ini sekitar RM200 juta yang diperoleh kumpulan sepanjang dua tahun lalu.
Justeru, ia menaikkan sasaran pengisian semula buku tempahan Kerjaya Prospek bagi FY26 kepada RM4 bilion daripada RM3 bilion, dan menaikkan unjuran pendapatan dari FY26 hingga FY28 sebanyak 2% hingga 14%.
Dengan buku tender sekitar RM2 bilion meliputi projek DC, hospital, kemudahan semikonduktor dan infrastruktur, firma itu mengekalkan 'beli' dengan TP lebih tinggi RM4.06 daripada RM3.55 sesaham.
"Kami kekal positif terhadap Kerjaya Prospek, dengan sektor DC dilihat berpotensi menjadi sumber pertumbuhan baharu serta mengukuhkan keterlihatan pendapatan kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com





